Adakah Kombucha halal?

Sejak kebelakangan ini, saya sering melihat orang ramai khususnya penduduk di negara ini menjual, membeli, mengiklankan dan meminum minuman kesihatan yang dikenali sebagai Kombucha.

Apakah itu Kombucha? Kombucha ialah minuman yang ditapaikan, berbuih, manis dan dibuat daripada teh atau buah-buahan.

Ia dipercayai tinggi dalam antioksidan dan mampu membunuh bakteria malah berkebolehan dalam membantu melawan penyakit.

Walaupun segala-galanya nampak menarik, saya difahamkan proses penapaian dalam menghasilkan Kombucha sebenarnya membawa kepada pembentukan alkohol.

Maka apa yang diminum dan di promosi secara terbuka oleh peminat Kombucha sebenarnya merupakan minuman yang mengandungi sejenis alkohol.

Saya berharap saya silap.

Sebelum saya menyertai masyarakat meminum Kombucha, mungkin seseorang dari pihak berkuasa yang relevan boleh membantu dan menimbang perkara tersebut serta memberikan nasihat dan makluman adakah Kombucha itu halal. – Ingin tahu tentang Kombucha