Adakan mesyuarat Petanque

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah Kejohanan Pentanque Piala Borneo ke-9 dan Kejohanan Petanque Interclub Borneo ke-10 yang akan diadakan pada 28 dan 29 Disember 2019, bertempat di Gelanggang Petanque Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Persekutuan Petanque Brunei Darussalam dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) ini akan mempertandingkan tiga acara iaitu acara Perseorangan, Berpasangan dan Tiga Orang Sepasukan untuk kategori lelaki dan kategori perempuan.

Sehubungan dengan itu, petang tadi telah berlangsung mesyuarat bagi penganjuran kejohanan tersebut yang dipengerusikan oleh Presiden Persekutuan Petanque Brunei Darussalam, Haji Mohammad bin Penglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah.

Dalam mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas tersebut, Haji Mohammad turut menjelaskan bahawa antara peserta yang akan turut mengambil bahagian dalam Kejohanan Pentanque Piala Borneo ke-9 ialah Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Kalimantan dan Negara Brunei Darussalam.

Bagi Kejohanan Petanque Interclub Borneo ke-10, kategori yang akan dipertandingkan ialah Kategori Beregu Terbuka di mana setakat ini sebanyak 66 buah pasukan telah membuat pendaftaran bagi menyertai kejohanan tersebut.

Seterusnya Haji Mohammad juga menjelaskan bahawa kejohanan ini menawarkan hadiah lumayan di mana johan akan menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah $1,500 berserta pingat dan trofi. Sementara itu bagi tempat kedua wang tunai bernilai $1,000 berserta pingat dan trofi.

Manakala bagi peserta yang berjaya menduduki tempat ketiga bersama turut menerima wang tunai bernilai $500 berserta pingat dan trofi. Sementara itu, peserta di tempat kelima hingga kelapan pula akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah $100 berserta pingat.

Presiden Persekutuan Petanque Brunei Darussalam semasa mempengerusikan mesyuarat kejohanan tersebut.