Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adakan program menarik

    SARIKEI, 2 OKT – Sekolah-sekolah kurang murid (SKM) perlu mengadakan pelbagai rancangan atau program yang menarik agar mampu meningkatkan lagi enrolmen murid, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

    Beliau berkata ia termasuk mengadakan kelas prasekolah bagi memastikan ramai murid memasuki tahun satu di sekolah berkenaan.

    “Masalah kurang murid boleh ditangani dengan mengadakan prasekolah. Dengan adanya ramai murid di prasekolah boleh menjamin enrolmen lebih ramai murid ke tahun satu.

    “Kena adakan banyak rancangan atau program di sekolah untuk menarik ibu bapa atau penjaga menghantar anak-anak mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bulat di sini hari ini.

    Beliau berharap semua sekolah dan guru besar mengambil tanggungjawab berkenaan dengan serius dan menyediakan pakej tertentu yang boleh menarik kemasukan murid ke sekolah mereka.

    Lim berkata di bawah Akta Pendidikan 1996, Kementerian Pendidikan (KPM) mengalu-alukan sekolah rendah untuk mengadakan prasekolah bagi kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun.

    “Selagi sekolah itu boleh menampung kelas mereka boleh memulakan kelas prasekolah. Jadi selagi ada murid-murid yang mendaftar, tugas KPM adalah untuk menghantar seorang guru prasekolah atau seorang pembantu ke sekolah-sekolah yang akan memulakan prasekolah,” katanya.

    Sekiranya masalah itu tidak dapat diatasi, sekolah-sekolah tersebut perlu mempertimbangkan untuk bergabung dengan sekolah-sekolah yang berhampiran ataupun berpindah ke kawasan lain yang mempunyai ramai penduduk. – Bernama

    Lim Hui Ying menyantuni murid-murid ketika melakukan lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bulat, Sarikei kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda