Adaptasi normal baharu demi kemapanan perniagaan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani & Bahiyah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Dalam usaha memastikan kemapanan perniagaan dalam era pandemik COVID-19, komuniti perniagaan perlu mengadaptasi normal baharu, menggandakan usaha dan bertahan di tengah-tengah cabaran dan kesulitan.

Sehubungan dengan itu, komuniti perniagaan perlu menilai perniagaan, industri dan ekonomi kerana dengan menganalisis kekuatan dan kelemahan ini, komuniti perniagaan boleh meraih manfaat daripada kekuatan dan bertindak mengatasi kelemahan serta kekurangan.

Pengerusi Bank Baiduri, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah menekankan perkara tersebut ketika berucap pada majlis pembukaan Forum Townhall TRANSFORM 2020 yang membawa tema, Coming Out Stronger: Business Survival and Opportunity in the Time of COVID-19 yang berlangsung di Hotel Raddisson di ibu negara hari ini.

Pada forum dihadiri kira-kira 90 orang pengasas perniagaan, usahawan, pengurus dan eksekutif korporat bagi membincangkan pengajaran paling besar tentang kemapanan perniagaan semasa pandemik itu, Yang Amat Mulia yakin komuniti perniagaan boleh mereka satu amalan perniagaan baharu berdasarkan kajian yang akan memberikan penjelasan mengenai sikap pelanggan relevan dengan industri atau aliran perniagaan mereka.

“Saya percaya, dalam keadaan semasa, perlunya kepercayaan dan kolaborasi berterusan kerana manusia bersifat sosial, kita perlu menyemai keyakinan jika kita mahu membina sebuah komuniti perniagaan dan industri berkembang luas dan berjaya. Perniagaan juga boleh memanfaatkan masa sukar ini untuk membina asas yang mapan dan membentuk usaha sama strategik,” tambahnya.

YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah semasa berucap pada majlis pembukaan Forum Townhall TRANSFORM 2020 di Hotel Radisson, kelmarin.

Yang Amat Mulia turut yakin kemampuan individu dan kolektif komuniti perniagaan mampu mengatasi kesulitan akibat pandemik itu.

Ini kerana manusia terbukti boleh menyesuaikan diri, tahan, kreatif, berimaginasi dan didorong kuat oleh tujuan terutamanya dalam Revolusi Industri ke-4 ini. Oleh itu, kita tidak boleh meremehkan kemampuan kita untuk memikirkan dengan sebaiknya usaha mengembang dan memajukan masyarakat kita terutamanya bagi pemimpin perniagaan dalam situasi semasa, tambahnya.

Menurut Yang Amat Mulia lagi, pandemik juga memberi tekanan kepada komuniti perniagaan untuk lebih bertahan pada masa-masa sukar ini dan segera menyelaras dan menyesuaikan diri dengan normal-normal baharu.

“Forum Townhall ini merupakan langkah penting dalam usaha individu dan kolektif untuk berdaya tahan kerana setiap krisis memberi peluang kepada pemilik perniagaan untuk menyesuaikan diri, menerap semula, berinovasi malahan menggendalakan aliran perniagaan bagi memenuhi aspirasi transformasi digital dan membina kesaling-hubungan online.

Di sebalik impak yang kurang menjejaskan di Brunei berbanding negara-negara lain, Yang Amat Mulia menekankan, bahawa komuniti perniagaan di sini ada pasang surutnya dengan beberapa sektor ekonomi kita terjejas lebih teruk berbanding yang lainnya. Ia menyerlahkan kekuatan dan kelemahan dalam pelbagai aspek ekonomi.

“Pandemik menyerlahkan bagaimana komuniti perniagaan perlu lebih mapan dalam masa seperti ini. Terdapat banyak kesukaran apabila pasaran terjejas dan menangani kesukaran ini mungkin lebih teruk kerana komuniti kita yang kecil dan saling berkaitan, dan jika ada kemerosotan, semua yang terjejas adalah nama-nama yang
dikenali.

“Apa yang penting, pemilik perniagaan di sini perlu segera mengadaptasi perubahan dan di sinilah pandemik mempercepatkan pengadaptasian dan penerimaan kita terhadap teknologi baharu.

“Hari ini, kita menggunakan teknologi dalam cara yang tidak pernah kita bayang atau jangkakan. Disebabkan peraturan kerajaan, penerimaan teknologi jejak dan kesan secara meluas di Brunei mengagumkan dan secara peribadinya, saya bangga dengan cara rakyat Brunei mengadaptasinya dengan pantas,” tambahnya.

Yang Amat Mulia turut memberi contoh, Brunei misalnya terpalit krisis industri minyak dan gas global, tetapi ia juga dianggap sebagai peluang bagi pemimpin perniagaan untuk mempelbagaikan ekonomi, bagi menyesuaikan diri dengan realiti semasa menghadapi industri bahan bakar fosil dan mencari cara baharu untuk menjadikan ekonomi Brunei lebih berdaya tahan dan kurang bergantung pada petroleum dan gas asli.

“Dalam usaha mendesak diri kita sendiri untuk mengadaptasi dan berdaya tahan, tentunya ada keperluan yang tidak dapat dihindari untuk kolaborasi dalam pengurusan perniagaan dan kepemimpinan korporat. Ini sepenuhnya bergantung kepada kita sebagai pemimpin perniagaan dan pemilik perniagaan serta sebagai majikan,” tekan YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah pada hujung ucapannya.