Adaptasi semula Hanok sebagai tempat penginapan

SEOUL – Binkwan merupakan satu tempat penginapan yang bertemakan rumah tradisional Korea, Hanok yang diubahsuai oleh kerajaan Metropolitan Seoul dan terletak di tengah-tengah Bukchon Hanok Village, Seoul.

Kawasan itu telah direka oleh Rakkojae, sebuah jenama utama bagi penginapan bertemakan hanok.

Ketika memasuki Binkwan, tetamu akan dapat menikmati suasana damai dengan latar muzik tenang yang memberi pemandangan panorama Seoul, termasuk Menara Namsan.

Hanya beberapa minit dari kawasan pelancongan yang sibuk di Bukchon, Binkwan membawa tetamu untuk menikmati ketenangan.

“Sejak dibuka, kami sudah mem-punyai beberapa tetamu antarabangsa yang tinggal selama lebih daripada 15 hari di Binkwan. Baru-baru ini, kami mempunyai pasangan dari Amerika Syarikat dan seorang ahli perniagaan dari Qatar,” jelas naib presiden eksekutif di Rakkojae, Michael Ahn kepada The Korea Herald di Binkwan baru-baru ini.

Pemandangan yang tenang di Bukchon Hanok. – ANN/The Korea Herald
Salah satu suite yang terdapat di Bukchon Hanok. – ANN/The Korea Herald

“Memastikan penginapan yang selesa untuk penggembara digital adalah salah satu matlamat kami dalam era pasca pandemik. Kami menjangkakan lebih ramai tetamu asing akan menginap dalam beberapa bulan akan datang, terutamanya semasa musim kemuncak musim panas,” tambah Ahn.

Hanok yang diubahsuai menjadi Binkwan dipercayai dibina pada tahun 1939, semasa pemerintahan kolonial Jepun di Semenanjung Korea. Rekod menunjukkan hanok pernah dimiliki oleh Jung Se-kwon, seorang aktivis gerakan kemerdekaan dan pemaju tanah, yang berusaha untuk melindungi dan memodenkan seni bina tradisional Korea.

Jung membina lebih 200 hanok bersaiz kecil, ruang yang efisien dan moden di sekitar kawasan Bukchon pada tahun 1920an dan 30an, secara beransur-ansur mengubahnya menjadi kompleks hanok yang besar. Pengubahsuaian mengambil masa dua tahun untuk menukar hanok yang dibeli oleh kerajaan Metropolitan Seoul pada 2019 menjadi Binkwan.

Binkwan mempunyai lima bilik, yang mana sehingga enam tetamu boleh tinggal bersama dengan menyambungkan dua suite anbang. Barang antik dan karya seni seramik digunakan untuk menghiasi bilik.

Di tingkat bawah, ruang istirahat komuniti yang luas, bernama The Living Room, dibuka kepada tetamu dan penduduk kawasan Bukchon, menawarkan kopi dan teh dengan potongan harga.

Memandangkan bilik hanok tradisional tidak mempunyai meja atau kerusi, pengunjung boleh menggunakan ruang istirahat untuk bekerja dengan selesa menggunakan komputer, membaca atau makan.

“Kami menjangkakan Binkwan akan menjadi sebagai penginapan hanok yang memberi tawaran lebih banyak kepada jiran-jiran di Buckchon serta tetamu,” kata pegawai Bahagian Pemeliharaan Warisan Hanok Kerajaan Metropolitan Seoul kepada The Korea Herald.

“Jika anda mengetahui sejarah moden kawasan itu, anda boleh lebih memahami kejiranan dan penduduk yang tinggal di sana hari ini.” – ANN/The Korea Herald