KUALA LUMPUR, 26 MEI – Asia Digital Bank Ltd (ADB), anak syarikat milik penuh Asia Pacific Investment Bank (APIB) milik negara China, berusaha untuk menjadi pengendali aset digital terkemuka dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif, Chris Wang berkata sasaran itu dapat dicapai melalui pembangunan platform perkhidmatan kewangan yang inklusif untuk transaksi aset digital, dengan teknologi kewangan digital terkini sebagai teras.
Beliau berkata ADB akan terus berperanan dalam menyumbang kepada pembangunan kesejahteraan komuniti di Malaysia dan China, serta kemajuan ekonomi digital global.
“ADB akan memanfaatkan platformnya untuk memenuhi pasaran global dan pelanggan di seluruh dunia menerusi perkhidmatan teras seperti kemampuan pelaburan dan pembiayaan rentas sempadan, pengurusan aset digital serta pembiayaan perdagangan berstruktur rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata menerusi usaha memanfaatkan platform teknologi kewangan terkemuka, ADB akan membina ekosistem perkhidmatan pembiayaan kendiri dengan sokongan teknologi kewangan terkemuka dan menerajui pakatan industri.
ADB, diperkenalkan secara rasmi menerusi maya hari ini, telah memperoleh lesen perbankan digital pertama bagi bank pelaburan daripada Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) pada November 2020. – Bernama