MANILA, 28 SEPT – Bank Pembangunan Asia (ADB) akan memperuntukkan pinjaman bernilai AS$14 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang untuk membantu negara-negara miskin mempertingkat jaminan makanan ketika harga meningkat dan isu perubahan iklim makin meruncing, kata pemberi pinjaman berpangkalan di Filipina itu kelmarin.
Bank itu, yang menyediakan pinjaman dan gran untuk projek di negara paling miskin di rantau Asia Pasifik, berkata pembiayaan akan menyasarkan isu seperti pengeluaran dan pengagihan makanan serta pembasmian perubahan iklim.
“Makanan yang tidak terjamin mengancam menghapus kemajuan berdekad-dekad yang dicatat di Asia dan Pasifik,” beritahu presiden ADB Masatsugu Asakawa kepada wartawan pada sidang media yang diadakan secara maya.
Asakawa berkata terdapat banyak faktor yang membawa kepada ‘situasi lebih buruk’ termasuk serangan Rusia ke atas Ukraine dan pandemik COVID, yang telah menjejas rantaian bekalan dan mendorong harga makanan naik ke ‘rekod tinggi.’
“Kami juga perlu ingat bahawa krisis makanan sekarang akan bertambah buruk sekiranya kami gagal mengatasi perubahan iklim,” kata Asakawa.
Bank itu, yang mempunyai 49 anggota dari Cook Islands di Pasifik kepada Kazakhstan di Asia Tengah, biasanya memperuntukkan AS$2 bilion setahun untuk pinjaman jaminan makanan. Jumlah tersebut dijangka mencecah AS$3.3 bilion pada tahun ini, dan AS$10.7 bilion dari 2023 hingga 2025, menurut ADB.
Ia menganggarkan hampir 1.1 bilion penduduk di rantau ini ‘kekurangan diet sihat disebabkan kemiskinan dan harga makanan.’
Pengumuman itu keluar selepas bank mengurangkan ramalan pertumbuhan 2022 untuk rantau baru-baru ini, kepada 4.3 peratus daripada unjuran 5.2 peratus pada April.
ABD mengingatkan risiko besar untuk prospek rantau berkenaan ketika bank pusat di seluruh dunia bergelut untuk mengawal inflasi dan sekatan yang dikenakan berulang kali di China yang menjejas ekonomi kedua terbesar dunia. Bank juga menambah ramalan inflasi kepada 4.5 peratus daripada 3.7 peratus. – AFP