ADB: Potensi tinggi hilang kerja akibat pandemik

KUALA LUMPUR, 1 JULAI – Pandemik COVID-19 membawa impak besar kepada ekonomi berikutan perintah berkurung yang berpanjangan di Asia mewujudkan potensi kehilangan pekerjaan sehingga 167 juta, demikian menurut Bank Pembangunan Asia (ADB).

Ketua Pengarah bagi pembangunan lestari dan perubahan iklim, Woochong Um berkata jumlah itu adalah berdasarkan tempoh pengurungan selama enam bulan dan kebanyakan sektor ekonomi yang paling terjejas ialah pekerja kurang mahir, perusahaan kecil dan sederhana, sektor tidak rasmi dan wanita.

“Adalah sukar selalunya untuk menjangkakan situasi seumpama ini. Saya berpendapat kita masih boleh menggunakan angka itu sebagai anggaran semasa berdasarkan perintah berkurung selama enam bulan sehingga akhir tahun ini,” katanya dalam taklimat media pada Forum Ekonomi Dunia-Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) wilayah Pasifik Barat secara maya di sini hari ini.

Um berkata impak ekonomi amat menjejaskan sektor runcit, sektor rekreasi dan hospitaliti, pelancongan, pengangkutan dan penerbangan yang berintensifkan buruh, selain perniagaan yang banyak bergantung kepada wanita serta perniagaan kecil dan tidak rasmi. – Bernama