Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ADB tidak perlu bersaing dengan bank China

    YOKOHAMA, Jepun, 4 Mei – Keperluan besar dalam perbelanjaan ke atas infrastruktur dan sokongan pembasmian kemiskinan bermakna Bank Pembangunan Asia boleh bekerjasama, dan bukannya bersaing dengan pemberi pinjaman infrastruktur baru China, kata Presiden ADB, Takehiko Nakao hari ini.

    Bercakap ketika ADB memulakan mesyuarat tahunannya pada hari ini di Yokohama, Jepun, Nakao memberitahu wartawan beliau berharap lebih banyak kerjasama dapat dijalin bersama Bank Pelaburan Infrastruktur Asia yang disokong oleh Beijing.

    “Kami boleh saling melengkapi di antara satu sama lain,” kata Nakao.

    “Keperluan pembiayaan adalah amat besar, maka kami tidak perlu menganggap AIIB sebagai satu pesaing dalam hal ini. Kami boleh bekerjasama,” kata beliau, mendapati kedua-dua pemberi pinjaman telahpun mencapai persetujuan mengenai tiga projek pembiayaan bersama.

    ADB telah dipimpin oleh Jepun dan AS sejak ia ditubuhkan pada tahun 1966, dan China menyertai pada 1986. Jepun dan AS masih belum menyertai AIIB, dan beberapa pengkritik menyoal motif China, bimbang ia mungkin menggunakan kekuatan kewangannya untuk melanjutkan pengaruh geopolitiknya tanpa menghiraukan faedah atau keadaan kewangan negara-negara yang mungkin meminjam daripada mereka. Nakao berkata adalah penting projek yang disokong oleh AIIB itu kukuh dari segi ekonomi.

    Presiden ADB, Takehiko Nakao bercakap pada sidang media mengenai mesyuarat tahunan ADB di Yokohama, Jepun, kelmarin. – AP
    Presiden ADB, Takehiko Nakao bercakap pada sidang media mengenai mesyuarat tahunan ADB di Yokohama, Jepun, kelmarin. – AP

    Sebagai sebuah negara membangun, China masih meminjam daripada pemberi pinjaman serantau, walaupun sekarang kebanyakan pembiayaan berkenaan disalurkan untuk mengurangkan kesan perubahan iklim, kata Nakao.

    ADB telah bekerja selama setengah abad untuk membasmi kemiskinan dan menyokong kebangkitan rantau Asia Pasifik sebagai pusat pertumbuhan global, namun kemiskinan masih menimbulkan masalah mencabar untuk pemberi pinjaman berkenaan.

    Lebih 5,500 pengurus bank dan pemimpin lain yang berkumpul di Yokohama sedang menilai cara-cara mereka boleh menyokong pertumbuhan tatkala ketidaksamaan pendapatan meningkat di negara kaya dan miskin. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda