ADB turunkan unjuran pertumbuhan 2021 Asia kepada 7.2%

KUALA LUMPUR, 20 JULAI – Bank Pembangunan Asia (ADB) menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonominya bagi Asia pada tahun ini kepada 7.2 peratus berbanding 7.3 peratus yang diunjurkan pada April 2021, susulan penularan semula pandemik COVID-19 telah merencatkan pemulihan beberapa ekonomi di rantau ini.

Ketua Ahli Ekonominya Yasuyuki Sawada berkata bagaimanapun prospek pertumbuhan bagi 2022 telah ditambah baik kepada 5.4 peratus daripada 5.3 peratus yang diunjurkan pada awalnya.

“Pemulihan Asia dan Pasifik daripada pandemik COVID-19 berterusan walaupun laluannya masih tidak menentu di tengah-tengah penularan baharu, varian virus bahau dan penerimaan vaksin yang tidak seimbang.

“Selain langkah-langkah pembendungan virus dan vaksinasi, penjanaan semula aktiviti ekonomi secara berfasa dan strategik – perdagangan, pembuatan dan pelancongan – akan menjadi kunci bagi memastikan pemulihan yang inklusif dan berdaya tahan,” katanya dalam laporan ekonomi ADB, Asian Development Outlook 2021.

Menurut laporan itu, pandemik masih kekal menjadi risiko terbesar kepada prospek tersebut, kerana penularan masih berlaku di banyak negara dengan kes harian di rantau itu memuncak kepada kira-kira 434,000 pada pertengahan Mei tahun ini.

Kes harian berkurangan kepada kira-kira 109,000 pada akhir Jun, tertumpu terutamanya di Asia Selatan, Asia Tenggara dan Pasifik.

Unjuran bagi Asia Tenggara tahun ini disemak semula kepada 4.0 peratus daripada 4.4 peratus apabila penularan semula pandemik yang ditambah dengan langkah-langkah sekatan dan pembendungan virus telah menjejaskan aktiviti ekonomi, kata laporan itu. – Bernama