Adele dituduh eksploitasi budaya Afrika

Penyanyi terkenal Adele menerima kecaman warganet selepas berkongsi fotonya memakai pakaian dengan corak bendera Jamaika dan bertocang Bantu yang merupakan fesyen tradisional bangsa Afrika.

Foto tersebut dimuat naik di Instagram milik penyanyi itu pada Ahad sempena acara tahunan Karnival Notting Hill yang terpaksa dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

“Selamat hari Karnival Notting Hill, London,” tulis Adele pada kapsyen gambar tersebut.

Rata-rata warganet meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan Adele yang didakwa mengeksploitasi budaya dan adat bangsa Afrika.

“Jika tahun 2020 belum cukup ganjil, Adele mengeksploitasi budaya Afrika dengan tocang Bantu. Ini secara rasminya menandakan semua wanita kulit putih yang berstatus popular dan hebat sebagai bermasalah,” komen seorang warganet.

Dalam pada itu, seorang peminat penyanyi Someone Like You ini menyebelahi Adele dan mengatakan ia merupakan keraian yang biasa disambut warga United Kingdom tidak kira bangsa dan warna kulit.

“Karnival Notting Hill ini diadakan setiap tahun untuk meraikan keturunan West Indie di London dan United Kingdom. Adele membesar di Tottenham, salah satu bandar yang mempunyai penduduk berketurunan Jamaika paling ramai di United Kingdom. Ini perkara yang aneh untuk orang Amerika ambil hati,” ujarnya.

Karnival Notting Hill meraikan komuniti kaum kulit hitam dan Caribbean yang menetap di United Kingdom. – Agensi

Adele berkongsi foto bertocang Bantu dan memakai pakaian corak bendera Jamaika. – Agensi