Adevinta beli perniagaan iklan eBay

OSLO, 21 JULAI – Syarikat pakar pengiklanan dalam talian Norway, Adevinta mengatakan pada hari ini bahawa ia telah mencapai perjanjian berjumlah AS$9.2 bilion tunai dan pegangan saham untuk membeli perniagaan iklan eBay.

“Perjanjian itu mewujudkan kumpulan iklan dalam talian terbesar di dunia dengan capaian yang meluas dan jenama pasaran terkemuka,” kata Adevinta.

Di bawah syarat-syarat perjanjian, Adevinta akan membayar AS$2.5 bilion secara tunai untuk memperoleh eBay Classifieds Group yang termasuk laman web periklanan seperti Gumtree di Amerika Syarikat dan Kijiji di Itali dan Jepun.

Adevinta turut akan menyerahkan 540 juta saham kepada eBay, memberikan 44 peratus modalnya.

Adevinta dipisahkan tahun lalu dari kumpulan media Schibsted, yang memegang saham majoriti, dan wujud di 15 buah negara di Eropah, Amerika Latin dan Afrika Utara.

Adevinta berkata firma gabungan akan ‘memberikan keuntungan dari kedudukan pasaran yang kukuh di 20 buah negara, merangkumi satu bilion orang dengan tiga bilion lawatan setiap bulan.”

Mereka berhasrat untuk terus berkembang.

“Kami bertuah kerana skala dan capaiannya, perniagaan gabungan akan berada pada posisi yang ideal untuk terus mengambil bahagian dalam penyatuan industri pengiklanan dalam talian,” kata Adevinta dalam satu kenyataan. – AFP

Adevinta mengatakan ia telah mencapai perjanjian untuk membeli perniagaan iklan eBay. – AP