ADI perkukuh keselamatan bersama

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – ASEAN Direct Communication Infrastucture (ADI) adalah kunci utama dan langkah-langkah pembinaan keselamatan yang bertujuan untuk mengurangkan kelemahan bagi salah perhitungan dan mengelakkan salah faham dan kejadian yang tidak diingini di laut.

Selain itu, ia turut memberikan Menteri-menteri Pertahanan ASEAN satu cara yang kekal, cepat, boleh dipercayai dan sulit, di mana mereka boleh berkomunikasi antara satu sama lain untuk mencapai keputusan bersama dalam menangani krisis atau situasi kecemasan, khususnya yang berkaitan dengan keselamatan maritim.

Justeru, pelanjutan ADI Negara-negara Plus adalah bagi memenuhi matlamat menyeluruh untuk membentuk ASEAN sebagai masyarakat berasaskan peraturan dan inklusif yang akan bertindak balas secara berkesan terhadap cabaran-cabaran yang sedang muncul di rantau dinamik, selain memainkan peranan yang bertanggungjawab dan membina secara global serta mengekalkan sentimen ASEAN.

Perkara ini ditekankan oleh Pemangku Setiausaha Tetap Pertahanan, Haji Amiruddin bin Haji Mohammad Hassan semasa merasmikan bengkel mengenai ADI Negara-negara Plus yang berlangsung di salah sebuah hotel di Gadong, hari ini.

Beliau seterusnya menambah, pengembangan  ADI ke Negara-negara Plus ini akan berusaha untuk mewujudkan hubungan yang lebih kuat antara negara anggota ASEAN dan Negara-negara Plus untuk menangani cabaran keselamatan dengan cara yang terbuka, telus dan inklusif.

Antara delegasi yang menghadiri mesyuarat tersebut. – Gambar oleh Kementerian Pertahanan

“Objektif  untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Negara-negara Plus, ADI dapat melengkapkan mekanisme penukaran maklumat yang ada di rantau ini dan meningkatkan keyakinan dan langkah-langkah pembangunan keselamatan serantau”, tegasnya.

Bukan setakat itu, ADI di bawah Proses Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) menyediakan platform bagi anggota ADMM-Plus untuk mengadakan dialog mengenai situasi kecemasan dan krisis untuk mempromosikan de-escalate.

Sebagai langkah pertama ke hadapan, jelasnya, bengkel ini berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan ADI sebagai sistem kepada Negara-negara Plus, berkongsi proses dan keupayaan operasinya.

Berikutan kesimpulan 5th Ad Hoc Working Group Meeting on ADI dan Workshop on ADI with Plus Countries telah dijalankan di tempat yang sama.

Bengkel telah dipengerusikan bersama oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud; Pegawai Turus, J6, Markas Angkatan Bersama, ABDB, Leftenan Kolonel (U) Zainolhizad bin Haji Mohd Zain dan Assistant Secretary for Assessments and International Affairs, Department of National Defense Republik Filipina, Teodoro Cirilo T Torralba III.

Agenda utama bagi bengkel tersebut ialah untuk memperkenalkan ADI secara rasmi kepada Negara-negara Plus.

Di antara Negara-negara Plus yang hadir semasa bengkel tersebut ialah India, Jepun, New Zealand, Republik Korea dan Amerika Syarikat.

Bengkel ini merupakan langkah pertama dalam memperluaskan ADI ke Negara-negara Plus berikutan pengesahan Concept Paper on Expanding ADI to Plus Countries pada ADMM ke-13 di Bangkok, Thailand pada Julai 2019.

Pelanjutan ADI ke Negara-negara Plus bertujuan untuk mewujudkan hubungan yang lebih kuat antara negara-negara ASEAN dan Negara-negara Plus dalam menangani cabaran-cabaran keselamatan dengan cara yang terbuka, telus dan inklusif.

Di samping memperkukuhkan lagi kerjasama dengan Negara-negara Plus, ADI juga dilihat sebagai penyumbang kepada perkongsian maklumat yang sedia ada di rantau ini dan meningkatkan keyakinan serantau dan langkah-langkah pembinaan keselamatan.