Adi Putra pertahan usaha Ustaz Ebit Lew beri bantuan

Pelakon Datuk Adi Putra kesal dengan tindakan individu yang melemparkan kecaman dan kritikan terhadap usaha bantuan dilakukan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew.

Dalam hal ini, Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 39, berkata dia tidak teragak-agak untuk ke depan mempertahankan niat baik pendakwah terkenal itu.

“Siapa saja yang menghentam Ustaz Ebit Lew tanpa usul periksa saya tak teragak-agak untuk ke depan. Biar menunjuk yang ada niat dari dihentam pada yang lemah. Jangan hanya berani bercakap mahupun yang komen kalau tak gentle… harap maklum!,” katanya.

Menerusi laman Instagram, Adi memuat naik foto Ebit Lew dan menulis kapsyen tersebut.

Keprihatinan Ebit Lew memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan dan insan-insan memerlukan sepanjang penularan Covid-19 di negara ini menjadi bualan ramai.

Bagaimanapun, usahanya turun padang bertemu masyarakat yang berdepan kesempitan hidup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini turut disalah erti oleh segelintir pihak.

Ia mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang turut meluahkan rasa bengang dengan kritikan yang dilemparkan oleh pihak tertentu itu.

Sebelum itu, menerusi laman Facebook, pendakwah bebas berusia 36 tahun ini memohon maaf jika niatnya membantu mereka yang memerlukan telah menimbulkan rasa kurang senang mana-mana pihak.

Katanya, dia ikhlas melakukan pekerjaan itu kerana tanggungjawab sesama manusia dan bimbang dipersoalkan oleh Allah pada hari akhirat kelak. – Agensi

Adi Putra menyokong usaha dan niat baik Ustaz Ebit Lew membantu masyarakat yang sedang berdepan kesempitan hidup. – Agensi