Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 April – Misi atlet tunggal wushu yang mewakili Negara Brunei Darussalam, Mohd Adi Salihin bin Roslan, untuk mengharumkan nama negara di dalam Pertandingan Piala Wushu Pars ke-6 yang berlangsung di Semnan, Iran, bermula dengan baik apabila berjaya mengutip pingat emas dalam acara Nan Quan, kelmarin.
Menurut jurulatih yang mengiringi Mohd Adi Salihin ke kejohanan berkenaan, Li Hui, Mohd Adi Salihin menunjukkan persembahan yang menarik dalam acara itu dan berjaya untuk mengutip 9.48 mata, sekali gus muncul juara serta membawa pulang pingat emas pertama baginya dalam pertandingan berkenaan.
Menurut Li Hui lagi, pencapaian itu adalah amat membanggakan bagi Negara Brunei Darussalam yang buat kali pertama menyertai pertandingan berkenaan, serta memberikan petunjuk yang amat memberangsangkan sebagai persiapan atlet negara untuk menimba pengalaman sebelum penyertaan dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia pada Ogos nanti.
Mohd Adi Salihin akan meneruskan lagi misinya untuk mengejar pingat bagi negara dalam dua lagi acara yang bakal disertainya dalam pertandingan itu iaitu acara Nan Dao dan Nan Gun.
Pertandingan itu disertai oleh seramai 136 orang atlet daripada 14 buah negara yang berlangsung selama lima hari bermula 13 hingga 17 April.
