Adidas cari 1,703 ‘Diego Maradona’

BUENOS AIRES, 17 OGOS – Syarikat pengeluar barangan sukan ternama, Adidas, kelmarin melancarkan kempen untuk mencari 1,703 warga Argentina yang diberi nama sempena ikon bola sepak, Diego Armando Maradona, yang meninggal dunia tahun lalu akibat serangan jantung.

Jenama Adidas dari Jerman ingin menawarkan jersi replika percuma bekas pasukan Maradona, Boca Juniors kepada mereka yang dilahirkan dan diberi nama ‘Diego Armando’ pada 1981, tahun yang sama pemain terhebat Argentina itu memenangi kejuaraan bersama gergasi Buenos Aires.

Minggu lalu, Boca Juniors dan Adidas memperkenalkan jersi kelab bagi musim baharu, yang diinspirasikan oleh jersi dipakai oleh Maradona, yang ketika itu berusia 21 tahun bersama rakan sepasukannya 40 tahun lalu.

Pada tahun tersebut pihak berkuasa mendaftarkan sejumlah besar anak damit baharu lahir diberikan nama Diego Armando, menurut kenyataan dikeluarkan Adidas.

Maradona adalah peminat tegar Boca selepas bersara dan memiliki ruang peribadi di stadium Boca, Bombonera.

Dia menikmati dua tempoh singkat bermain untuk Boca Juniors iaitu pada permulaan dan penghujung kariernya.

Ketika kali pertama mewakili Boca, dia menerima tawaran untuk berpindah ke Sepanyol dan bermain untuk Barcelona pada 1982 dan dua tahun kemudian dia berpindah ke Itali bersama Napoli, di mana dia menikmati tahun terbaik dalam kariernya.

Dia membantu Argentina untuk menjulang Piala Dunia pada 1986 kemudian membantu mereka mara ke final sekali lagi empat tahun kemudian, sementara Napoli menjuarai dua kejuaraan Serie A dan Maradona menjadi bintang utama pasukan.

Dia menamatkan karier di Boca pada 1998 dan empat tahun kemudian kembali ke Bombonera untuk persaraan rasmi dari bola sepak. – AFP

Gambar fail reaksi Diego Maradona meraikan gol bersama kelab Boca. Adidas ketika ini menawarkan jersi replika percuma kepada mereka yang diberikan nama ‘Diego Armando’ dan dilahirkan pada 1981. – AP