FRANKFURT am MAIN, 9 Nov – Kumpulan peralatan sukan Jerman Adidas hari ini melaporkan satu pertambahan dalam keuntungan suku ketiga, dirangsang oleh permintaan kukuh untuk kasut dan pakaian jenamanya sendiri di China dan Amerika Utara.
Syarikat Bavaria itu, yang menaja pasukan Liga Perdana Inggeris Manchester United, berkata keuntungan bersih meningkat kepada 526 juta di antara Julai dan September, naik 36 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pendapatan kumpulan bertumbuh sebanyak hampir sembilan peratus kepada 5.7 bilion euro, didorong oleh jualan online dan pertambahan dalam kasut Originals Adidas dan kasut fesyen adidas neo urban.
Permintaan adalah memberangsangkan di pasaran utama China dan Amerika Utara, di mana jualan jenama tiga jalur itu meningkat sebanyak kira-kira satu pertiga, kata Adidas dalam satu kenyataan.
Ketua eksekutif Kasper Rorsted berkata beliau berasa gembira “dengan kualiti pertumbuhan kami” tatkala beliau mengesahkan prospek kumpulan untuk tahun 2017.
“Kami mencatat satu lagi keputusan yang kukuh dan dijangka akan mencapai sasaran kewangan 2017 kami,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Adidas berkata ia terus menjangka jualan kumpulan berkembang sebanyak 17 hingga 19 peratus pada 2017 untuk mencatat keuntungan bersih di antara 1.36 dan 1.39 bilion euro.
Satu-satunya rantau yang tidak melihat pertumbuhan pada suku ketiga adalah Rusia, dengan Adidas menyalahkan kemerosotan 17 peratus dalam jualan ke atas “sentimen pengguna yang mencabar” serta penutupan kedai. Satu lagi kemerosotan datang daripada jenama kumpulan yang bermasalah Reebok, yang melihat pendapatan bertambah sebanyak satu peratus dalam tempoh yang sama.
Adidas membeli pakar pakaian senaman AS pada 2005 dalam usaha untuk merapatkan jurang dengan pesaing utamanya Nike, namun Reebok telah bergelut untuk mencatat prestasi mengagumkan di kumpulan dan kini sedang menjalani penyusunan semula. – AFP