Adidas raih keuntungan lebih kukuh

FRANKFURT AM MAIN, 9 Ogos – Firma pengeluar produk sukan Jerman, Adidas, kelmarin berkata Piala Dunia di Rusia dan jualan e-dagang yang kuat mengukuhkan lagi keuntungan bersih pada suku kedua, mengekalkan syarikat itu pada landasan untuk mencapai sasaran 2018.

Keuntungan bersih syarikat yang berpangkalan di Bavaria itu meraih lebih daripada dua kali ganda kepada 396 juta euro (AS$459 juta) antara April dan Jun, naik dari AS$158 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatan kumpulan itu naik empat peratus kepada 5.3 bilion euro tahun-ketahun, diterajui oleh permintaan yang kukuh dalam pasaran utama Amerika Utara dan China serta jualan dalam talian.

Pemacu pertumbuhan utama pada suku kedua adalah disebabkan penganjuran bola sepak Piala Dunia, yang membantu mendorong kenaikan dua digit jualan di Rusia sahaja.

Gambar fail pada 24 Jun 2018 menunjukkan bola sepak rasmi Adidas ‘Telstar World Cup’ yang diambil sebelum sidang akhbar di Kaliningrad semasa Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 di Rusia. Adidas, kelmarin berkata Piala Dunia di Rusia dan jualan e-dagang yang kuat mengukuhkan lagi keuntungan bersih pada suku kedua. – AFP

Selain membekalkan produk untuk bola sepak, Adidas juga menaja 12 daripada 32 pasukan dalam kejohanan itu.

“Kami mencapai satu lagi kejayaan yang kukuh di sebalik penganjuran Piala Dunia yang berjaya,” kata ketua eksekutif Kasper Rorsted dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu juga mendapat manfaat daripada harga yang lebih tinggi untuk pakaian sukan ‘top-line’ dan kasut, yang membantu mengimbangi kesan mata wang negatif dan perbelanjaan pemasaran yang dikaitkan dengan Piala Dunia. – AFP