Adik Donald Trump meninggal dunia

WASHINGTON, 16 OGOS – Robert Trump, adik bongsu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meninggal dunia pada malam semalam, selepas berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di Manhattan, New York.

Donald Trump dalam satu kenyataan dikeluarkan Rumah Putih bagaimanapun tidak mendedahkan punca penyakit yang menyebabkan kematian adiknya yang berusia 72 tahun itu.

“Dengan berat hati saya mahu berkongsi adik kesayangan saya, Robert sudah meninggal dunia malam tadi.

“Dia bukan saja seorang adik tetapi juga sahabat baik saya. Dia akan sentiasa dirindui tetapi kami akan bertemu semula. Memori bersamanya akan kekal dalam hati saya selama-lamanya. Saya sayang kamu Robert,” kata Trump.

Pada Jumaat, presiden berusia 74 tahun itu sempat melawat Robert di sebuah hospital di New York dan menghabiskan masa bersamanya selama 45 minit.

Beliau yang singgah di New York semasa dalam perjalanan ke kelab golf di Bedminster, New Jersey sebelum itu sempat memberitahu wartawan bahawa beliau sedang menghadapi masa yang sukar.

Presiden AS itu mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Robert yang pernah berkhidmat dengan Trump Organisation. – AFP

Gambar fail bertarikh 9 November 2016 menunjukkan Donald Trump (depan) memeluk adiknya Robert Trump selepas menyampaikan ucapan di bandar New York. – AFP