Tuesday, November 5, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adik Kim beri amaran tentang ‘tindak balas baharu’

    SEOUL, 10 JUN – Korea Utara menghantar ratusan lagi belon pembawa sampah ke sempadan, kata tentera Seoul pada hari ini, selepas adik perempuan Kim Jong Un yang berkuasa memberi amaran mengenai tindak balas lanjut jika Korea Selatan meneruskan ‘perang psikologi’.

    Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Korea Utara telah menghantar ratusan belon ke Korea Selatan, membawa sampah seperti puntung rokok dan kertas tandas, dalam apa yang dipanggil sebagai tindakan balas terhadap belon yang sarat dengan propaganda anti-Pyongyang yang diapungkan ke utara oleh aktivis di Selatan, yang Seoul secara sah tidak boleh hentikan.

    Kerajaan Korea Selatan bulan ini menggantung sepenuhnya perjanjian ketenteraan pengurangan ketegangan 2018 dan memulakan semula siaran propaganda pembesar suara di sepanjang sempadan sebagai tindak balas kepada belon Pyongyang, menimbulkan kemarahan Korea Utara yang memberi amaran kepada Seoul mewujudkan ‘krisis baharu’.

    Adik perempuan Kim dan jurucakap kerajaan utama, Kim Yo Jong berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal hari ini bahawa Korea Selatan akan “mengalami rasa malu yang pahit untuk mengutip kertas buangan tanpa rehat dan ia akan menjadi kerja hariannya.”

    Dalam kenyataan yang dibawakan oleh Korean Central News Agency (KCNA) rasmi, beliau menyelar risalah aktivis sebagai ‘perang psikologi’ dan memberi amaran bahawa melainkan Seoul menghalang mereka dan membatalkan siaran pembesar suara, Utara akan membalas.

    “Jika ROK secara serentak melakukan taburan risalah dan penyiaran pembesar suara provokasi di sempadan, sudah pasti ia akan menyaksikan tindak balas baharu DPRK,” katanya, merujuk kepada kedua-dua negara dengan nama rasmi mereka.

    Tentera Seoul berkata Utara telah menghantar kira-kira 310 belon pembawa sampah semalaman, dengan tiada lagi dikesan di udara pada awal hari ini, lapor agensi berita Yonhap.

    “Kumpulan terbaru belon berisi sisa yang dihantar lewat semalam mengandungi kertas sekerap dan plastik, tanpa bahan toksik dikesan setakat ini,” kata Yonhap, memetik Ketua Staf Bersama (JCS). – AFP

    Kim Yo Jong (tengah) berkata belon yang membawa sampah adalah tindak balas terhadap kempen oleh orang awam Korea Selatan untuk menerbangkan risalah propaganda ke Korea Utara. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda