Adik PM Singapura sertai pihak pembangkang

SINGAPURA, 24 JUN – Adik Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Yang, hari ini mengumumkan beliau menyertai parti pembangkang menjelang pilihan raya umum (PRU) pada bulan depan, memberi gambaran cabaran baharu kepada pemerintahan paling lama membentuk kerajaan di Singapura.

Parlimen Singapura dibubarkan semalam bagi PRU yang dijadualkan berlangsung pada 10 Julai ini, meskipun negara itu masih berdepan cabaran untuk pulih daripada wabak COVID-19.

Lee Hsien Yang terperangkap dalam pertelingkahan panjang dengan Lee Hsien Loong, yang dituduh ingin mengambil kesempatan terhadap legasi warisan ayah mereka, pemimpin pengasas Singapura.

Hsien Yang, 62, dilaporkan menemui ketua kumpulan parti pembangkang Parti Kemajuan Singapura (PSP), Tan Cheng Bock, pagi hari ini dan sekali gus mengumumkan menyertai parti itu.

“Saya menyertai parti ini kerana saya fikir beliau (Cheng Bock) komited melakukan perkara yang betul untuk Singapura dan rakyat. Beliau juga menyayangi negara ini dan membawa bersama sekumpulan orang yang berkongsi wawasannya,” katanya kepada pemberita tanpa menjelaskan sama ada akan bertanding dalam PRU kali ini. – AFP

Lee Hsien Yang (kiri), adik kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menunjukkan kad keahlian selepas diberikan oleh Tan Cheng Bock (kanan) di Pasar Tiong Bahru, Singapura pada 24 Jun. – AFP