ADMM ke-13 labuh tirai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-13 telah dilaksanakan dengan jayanya di Hotel Shangri-La Bangkok, Thailand, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, ADMM 2019 dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kerajaan Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwon.

Mewakili Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat itu ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut serta ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah selaku ketua ADSOM Negara Brunei Darussalam dan Pengarah Dasar Pertahanan, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud, selaku ketua ADSOM-WG Negara Brunei Darussalam.

Kenyataan menyebut bahawa mesyuarat pada kali ini juga telah mengesahkan pengembangan fasa pertama ASEAN Direct Communications Infrastructure (ADI) yang telah diterajui oleh Negara Brunei Darussalam.

Menteri-menteri pertahanan ASEAN bergambar ramai sempena ADMM ke-13 di Hotel Shangri-La Bangkok, kelmarin.
ADMM ke-13 yang berlangsung di Hotel Shangri-La Bangkok.

ADMM adalah mesyuarat kemuncak susulan daripada mesyuarat peringkat kerja ADSOM-WG dan ADSOM. ADMM juga telah menerima pakai inisiatif ADMM yang baharu dan menerima laporan mengenai perkembangan dalam platform ASEAN, Mesyuarat Ketua-ketua Pasukan Pertahanan ASEAN (ACDFM) serta maklumat terkini mengenai kemajuan kerjasama pertahanan ASEAN yang sedia ada.

Menteri-menteri pertahanan ASEAN juga telah menandatangani Deklarasi Bersama mengenai Keselamatan Berdaya Tahan.

Sebelum ADMM ke-13 bermula pada sebelah pagi, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua berserta menteri-menteri pertahanan ASEAN telah membuat satu kunjungan hormat bersama kepada Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Jeneral (B) Prayut Chan-o-cha.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua juga berpeluang mengadakan perjumpaan dua hala bersama Jeneral Prawit Wongsuwan sewaktu ADMM berlangsung. Satu majlis makan malam sempena ADMM ke-13 juga diadakan bagi menteri-menteri pertahanan ASEAN.

Selaku pengerusi ADMM pada 2019, Thailand juga akan mempengerusikan ADMM-Plus ke-6 pada November nanti berserta dengan ADMM Retreat.