Thursday, December 7, 2023
27.5 C
Brunei

    -

    ADMM ke-17 bersidang di Jakarta

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof mengetuai rombongan Negara Brunei Darussalam menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-17 yang diadakan di Pusat Konvensyen Jakarta di Jakarta, Republik Indonesia, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, delegasi Negara Brunei Darussalam juga terdiri daripada Setiausaha Tetap, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan.

    Mesyuarat ADMM ke-17 telah dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Prabowo Subianto.

    Mesyuarat yang membawa tema Keamanan, Kemakmuran dan Keselamatan itu menyaksikan beberapa dokumen diluluskan termasuk dua kertas konsep, satu kertas perbincangan dan kemas kini prosedur operasi standard (SOP).

    Negara Brunei Darussalam turut berkesempatan menyampaikan taklimat mengenai kemajuan dan perkembangan penggubalan kertas strategi A Future-Ready ADMM and ADMM-Plus: A Strategy Paper dan mengongsi hasil bengkel kedua yang berlangsung di Bandar Seri Begawan pada Oktober lalu.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menghadiri Mesyuarat ADMM ke-17 di Pusat Konvensyen Jakarta di Indonesia, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN

    ADMM ke-17 juga berjaya mengguna pakai Deklarasi Bersama iaitu Deklarasi Bersama Jakarta oleh Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Mengenai Keamanan, Kemakmuran dan Keselamatan.

    Satu kejayaan signifikan turut dicapai tahun ini dengan penyertaan buat pertama kali Timor-Leste sebagai pemerhati ADMM dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.

    Di samping Mesyuarat ADMM ke-17, Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Amerika Syarikat juga diadakan yang telah dipengerusikan bersama oleh TYT Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, TYT Lloyd J. Austin III.

    Ini diikuti dengan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Jepun yang diadakan secara hibrid dan dipengerusikan bersama oleh TYT Prabowo Subianto dan Menteri Pertahanan Jepun, TYT Minoru Kihara.

    Negara Brunei Darussalam turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Republik Indonesia, Persekutuan Rusia dan Sekretariat ASEAN.

    Selaku pengerusi ADMM, Republik Indonesia akan mempengerusikan Mesyuarat ADMM-Plus ke-10 pada 16 November.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Rekrut warga Nepal dalam tentera Rusia, 12 ditahan

    KATHMANDU, 6 DIS – Polis Nepal mengumumkan hari ini mereka telah menahan 12 orang yang dituduh menghantar lelaki muda Nepal secara haram untuk direkrut...