PHNOM PENH, 22 JUN – Setelah dua tahun Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) diadakan secara dalam talian, menteri-menteri pertahanan ASEAN dan wakil-wakil pertahanan sekali lagi dapat berkumpul secara fizikal buat pertama kalinya di Kementerian Pertahanan Nasional Kemboja, hari ini.
Mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam.
Mesyuarat ADMM ke-16 itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Tuan Yang Terutama Jeneral Samdech Pichey Sena Tea Banh.
Dengan tema ‘Perpaduan untuk Keselamatan Harmoni’, mesyuarat tahun ini memfokuskan tiga kertas konsep dan satu terma rujukan diterima pakai, serta dua kertas perbincangan diambil maklum.
Mesyuarat ADMM berjaya menerima pakai kenyataan bersama bertajuk ‘Visi Phnom Penh dalam Peranan Pertubuhan Pertahanan dalam Menyokong Pemulihan COVID-19’ serta ‘Deklarasi Bersama Menteri-menteri Pertahanan ASEAN dalam Kerjasama Pertahanan untuk Mengukuhkan Perpaduan bagi Keselamatan Harmoni’.

Setelah selesai mesyuarat, menteri-menteri pertahanan ASEAN dan wakil-wakil pertahanan mengadakan kunjungan hormat bersama kepada Perdana Menteri Kemboja, TYT Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen di Peace Palace.
Di samping ADMM yang ke-16, Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan ASEAN dan Jepun telah dikendalikan dan dipengerusikan bersama oleh TYT Jeneral Samdech Pichey Sena Tea Banh dan Menteri Pertahanan Jepun, TYT Kishi Nobuo.
Ini diikuti dengan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan ASEAN dan China secara dalam talian yang telah dipengerusikan bersama oleh TYT Jeneral Samdech Pichey Sena Tea Banh dan Menteri Pertahanan Republik Rakyat China, TYT Jeneral Wei Fenghe.
Mesyuarat dua hala turut diadakan di antara Negara Brunei Darussalam bersama Kemboja dan Jepun.
Kemboja akan mempengerusikan ADMM-Plus yang ke-9 dan ADMM Retreat pada bulan November 2022.