Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Aduan tiada persefahaman paling banyak diterima

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Sebanyak 42 peratus aduan rumah tangga berpunca daripada tiada persefahaman di antara pasangan manakala 27 peratus aduan lagi dibuat disebabkan pengabaian nafkah atau tanggungjawab.

    Menurut statistik yang direkodkan oleh Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, faktor tersebut merupakan penyumbang tertinggi kepada konflik dan perselisihan rumah tangga sepanjang tempoh tiga tahun kebelakangan.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Suhaimi bin Haji Gemok semasa menyampaikan ucapan pada majlis penutup Kursus Pasca Perkahwinan di Dewan Serbaguna, Bangunan Mahkamah Besar dan Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

    Beliau menambah, faktor yang disebabkan oleh pasangan mempunyai hubungan dengan orang lain dan pasangan tidak lagi tinggal bersama dalam tempoh yang lama, masing-masing menyumbang 12 peratus konflik rumah tangga yang diadukan.

    Selain itu, 52 peratus daripada aduan yang dibuat ke Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga merupakan pasangan yang telah mendirikan rumah tangga dalam tempoh empat hingga 10 tahun.

    Haji Suhaimi semasa menyampaikan ucapan pada majlis penutup Kursus Pasca Perkahwinan, kelmarin.

    Oleh itu, jelas beliau, setiap pasangan itu harus memiliki ilmu yang ditunjangi dengan keimanan agar dapat menjadi benteng untuk menangkis segala cabaran dalam mengharungi kehidupan berkeluarga.

    Selain itu, beliau menerangkan mengenai cabaran terhadap peranan dan tanggungjawab ibu bapa untuk membentuk keluarga yang beriman dan harmoni semasa zaman moden ini.

    Ini kerana banyak pendedahan daripada pengaruh dan budaya luar seperti melalui media massa dan Internet yang boleh mengubah pemikiran dan tingkah laku sesebuah keluarga.

    Ke arah mengekalkan keharmonian berkeluarga, menurut beliau, adalah wajar bagi setiap ahli keluarga menjadi pendengar yang baik dan mengamalkan komunikasi berkesan dan positif sesama mereka.

    Beliau seterusnya menjelaskan bahawa kursus tersebut merupakan salah satu Program Pembangunan Keluarga Islam yang dirangka oleh KHEU khususnya Jabatan Hal Ehwal Syariah sebagai usaha dan mekanisme ke arah pengukuhan institusi keluarga di Negara Brunei Darussalam.

    Antara lain tujuan kursus tersebut adalah untuk mengukuhkan kefahaman mengenai pentingnya institusi keluarga Islam dalam masyarakat selain meningkatkan kesedaran mengenai hak dan tanggungjawab terhadap keluarga.

    Di samping itu, kursus tersebut juga berperanan untuk menyalurkan pengetahuan melalui jalan atau saluran yang betul bagi melaksanakan hak dan peranan dalam rumah tangga dan juga meningkatkan persefahaman dan perasaan kasih sayang di antara suami isteri sesuai dengan tuntutan Islam agar saling mesra antara satu sama lain.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...