Adunan hiburan dalam pertanian, kejayaan MAHA 2016

PUTRAJAYA – Dari atas bukit, pandangan matanya ditebarkan ke bawah dan sekitar kawasan bukit bercerun landai itu. Beliau berpuas hati dengan suasana damai lagi hijau yang masih kekal di kawasan yang suatu ketika adalah padang ragut untuk haiwan ternakan.

Dan pada masa yang sama tercetus di fikiran Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek alangkah bagusnya jika padang ragut dan kawasan lereng itu diterapkan konsep konsert dalam ampiteater semulajadi pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 Disember lepas.

Dengan idea itu yang kemudian direalisasi oleh gerak kerja Kementerian Pertanian dan Asas Tani, maka lahirlah Laman Agrotainmen D’lereng yang berjaya memeriahkan serta menarik ramai pengunjung pada pameran berkenaan.

Laman Agrotainmen D’Lereng, iaitu hiburan dalam pertanian, adalah konsep baharu, yang ditonjolkan dalam MAHA 2016, yang tidak hanya mahu tertumpu kepada golongan sasaran sedia ada tetapi menjangkau pengunjung seawal usia setahun.

Cetusan idea menteri berkenaan dilihat bukan sahaja boleh digunakan untuk penganjuran MAHA, malah sesuai dijadikan sebagai lokasi tetap penganjuran acara seni dan kebudayaan berteraskan agro-pelancongan.

Datuk Ramli Sarip (kanan) bersama penyanyi dari Indonesia Ebiet G Ade (dua kiri) mendendangkan lagu di hadapan ribuan penonton pada ‘Konsert Rythm Of The Farmers’ sempena MAHA 2016 di MAEPS, baru-baru ini. – Bernama
Datuk Ramli Sarip (kanan) bersama penyanyi dari Indonesia Ebiet G Ade (dua kiri) mendendangkan lagu di hadapan ribuan penonton pada ‘Konsert Rythm Of The Farmers’ sempena MAHA 2016 di MAEPS, baru-baru ini. – Bernama

Dengan rekod empat juta pengunjung yang 40 peratus daripadanya ialah golongan muda, ia ternyata idea terbaik dan paling berkesan untuk menarik generasi muda mendekati bidang pertanian.

Semai minat pertanian golongan kecil dan remaja

Watak animasi popular Upin & Ipin sebagai maskot rasmi MAHA 2016 sekaligus menjadi ‘bahan pelaris’ untuk kunjungan anak kecil ke MAHA, yang berlangsung semasa musim cuti sekolah. Aktiviti di Kampung Durian Runtuh Upin & Ipin menawarkan pengalaman baru untuk anak kecil bermain sambil belajar mengenai pertanian, tumbuh-tumbuhan dan serangga.

Ahmad Shabery berkata kepada media baru-baru ini segmen Kampung Durian Runtuh dalam MAHA 2016 memberi dimensi baharu iaitu aspek kepentingan pendidikan pertanian bagi kanak-kanak. Aktiviti MAHA juga tidak hanya terhad pada waktu siang, namun telah dipanjang hingga ke waktu malam dengan pendekatan agrotainmennya seperti konsert ‘Rhythm of the Farmers’ (ROTF) yang menampilkan artis-artis tempatan dan luar negara.

Selain itu, drama popular Mok Cun juga diterjemah dengan pembukaan perkampungan Mok Cun yang dimeriahkan dengan kunjungan dan penglibatan artis untuk menghiburkan pengunjung yang datang melihat dan merasai juadah makanan tradisi.

Konsert D’Lereng

Konsert Rhythm of The Farmers yang diadakan di D’Lereng menampilkan nama-nama hebat industri muzik seperti Khalifah, Man Bai, Wali Band, Akim & The Majistret, Datuk Ramli Sarip dan Ebiet G. Ade, maka tidak hairanlah konsert itu menarik lebih 3,000 penonton setiap kali diadakan. Ramai yang berpuas hati apabila Papa Rock Malaysia, Ramli Sarip bergabung dengan penyanyi asal lagu ‘Camelia’, Ebiet G. Ade melantunkan lagu itu.

Unsur agrotainmen tepat pada masanya

Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Abdul Shukor Juraimi menunjukkan elemen agrotainmen yang dibawa pada MAHA kali ini adalah kelainan yang tepat pada masanya untuk menarik generasi muda menanam minat pada pertanian. “Agrotainmen secara langsung akan membuatkan anak kecil bukan hanya datang untuk berhibur tetapi belajar mengenai bidang pertanian,” katanya.

Malah, katanya, usaha kementerian dan menteri sendiri yang menggunakan sukarelawan mahasiswa termasuk pelajar dari UPM yang dikenali ‘Agro Troopers’ ketika MAHA pada kali ini juga disokong. “Selain itu, mereka didedah mengenai penganjuran MAHA menerusi penyertaan seminar dan pelbagai aktiviti… ini satu perkara yang bagus untuk para pelajar,” kata Abdul Shukor.

Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan Konsert ‘Rhythms Of The Farmers’ pada MAHA, baru-baru ini. – Bernama
Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan Konsert ‘Rhythms Of The Farmers’ pada MAHA, baru-baru ini. – Bernama

Selain itu, seramai 4,500 belia terpilih mengikuti aktiviti perkhemahan di MAEPS bawah program Nafas Agro Youth Camp untuk mengenali dengan lebih dekat konsep pertanian dan kerjaya yang dijana melalui pertanian.

D’Lereng mampu tampung 20,000 pengunjung

Ahmad Shabery berkata D’lereng yang berkeluasan 2.5 hektar diperkenalkan sebagai tarikan baharu pada MAHA 2016 dan mampu memuatkan seramai 20,000 pengunjung dalam satu masa. Kemudahan yang terdapat di MAEPS seperti 7,000 petak meletak kenderaan dan sistem bas ‘shuttle’ juga menjadikan D’lereng lokasi penganjuran konsert yang strategik.

“Ramai pengunjung luar negara mengatakan D’lereng adalah tempat penganjuran konsert terbaik, sesuai dan cantik dan jika dibandingkan dengan kemudahan di bandar lain di rantau ini. “Ketua Pegawai Eksekutif Brain Maker Creation Sdn Bhd, Mohd Fairuz Zainal Abidin berkata konsep acara hiburan di kawasan cerun landai seperti itu sememangnya unik.

Bagaimanapun, pelakon yang lebih dikenali sebagai Fizz Fairuz itu berkata pihak MAEPS perlu menyediakan kawasan berbumbung berdekatan dengan D’lereng bagi memudahkan pengunjung untuk berteduh ketika hujan.

‘Garden Roof’ indahkan D’Lereng

Menyedari keperluan untuk menyediakan kawasan berbumbung di cerun landai itu, Pengerusi MAEPS Datuk Mohamad Satim Diman berkata “Garden Roof” akan dibina di bahagian atas D’lereng.

“Nanti apabila pengunjung bersantai sambil minum kopi di “Garden Roof”, mereka boleh menonton konsert di sebelah bawah, apatah lagi jika acara diadakan pada sebelah malam, ada pula pertunjukan lampu “Light Sensation”.

“Jika acara sebelah siang pula penonton boleh melihat binatang seperti biri-biri dan unta dari atas bukit itu. Jadi pemandangannya memang indah dan menyamankan,” katanya.

Mohamad Satim berkata langkah itu sejajar dengan hasrat menjadikan MAEPS sebagai pusat kebudayaan berteraskan agro-pelancongan. Pihak pengurusan MAEPS juga sedia berbincang dengan pihak penganjur jika terdapat permintaan khusus yang diperlukan untuk acara mereka.

Apa yang pasti, MAEPS kini tidak lagi menjadi tapak pertanian yang hanya meriah setiap dua tahun sekali apabila MAHA berlangsung tetapi akan turut menjadi tumpuan golongan penggiat seni dan generasi muda. – Bernama