Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Advokasi dalam menanai warga perundangan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Kursus Advokasi Asas dilaksanakan adalah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, untuk memberikan para graduan perundangan yang berkelulusan profesional untuk menambah ilmu pengetahuan serta pengalaman berhubung advokasi dengan tujuan untuk meningkatkan persediaan graduan perundangan profesional supaya mereka cemerlang dalam bidang kerjaya guaman.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dalam ucapan khas di Majlis Pembukaan Kursus Advokasi Asas yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

    Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa tidak dapat dinafikan bahawa jumlah graduan perundangan yang berkelulusan profesional, sama ada dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) atau dari institusi-institusi luar negara semakin meningkat jumlahnya dari tahun ke tahun.

    Ini secara langsung, ulasnya lagi, menyebabkan saingan bagi memperolehi pekerjaan dalam bidang perundangan dan guaman yang semakin ketat serta mencabar.

    Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui strategi-strategi yang telah ditetapkan dalam pelan Strategik JPM 2021-2025, akan terus komited untuk bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan untuk mengatasi perkara itu melalui inisiatif-inisiatif seumpama ini.

    Yang Berhormat Menteri di JPM menyampaikan ucapan khas pada Majlis Pembukaan Kursus Advokasi Asas yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM.

    Beliau berkata, kursus itu diharap akan dapat menanai warga perundangan yang berkompetensi supaya undang-undang negara sentiasa dipelihara dan secara langsung terus mengekalkan keamanan dan keharmonian di kalangan rakyat dan penduduk di negara ini selaras dengan pembangunan dan kemajuan negara sejajar dengan wawasan 2035.

    Yang Berhormat Dato juga menyatakan bahawa hasrat untuk mengadakan kursus berkenaan adalah untuk memberikan satu aliran bagi menambah nilai terhadap keupayaan peserta-peserta untuk meningkatkan kecekapan dan kemahiran dalam bidang advokasi dan seterusnya kebolehpasaran peserta-peserta untuk menghadap cabaran-cabaran pekerjaan.

    Beliau berharap bagi kesemua peserta yang hadir akan dapat mengambil kesempatan dengan sepenuhnya bagi memanfaatkan ilmu-ilmu yang disampaikan, memandangkan bahawa mereka yang hadir pada kursus berkenaan merupakan bakal pelapis masa depan dalam sektor perundangan yang akan memikul tanggungjawab bagi memastikan kedaulatan perlembagaan serta undang-undang di Negara Brunei Darussalam adalah sentiasa dijamin.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Hakim Syari’e, Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Peguam Negara, Yang Berhormat Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa; Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon; setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di JPM, ketua pendaftar dan pesuruhjaya-pesuruhjaya kehakiman, peguamcara negara, hakim-hakim, presiden Persatuan Undang-undang Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi kerajaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...