AECC bincang Komuniti Ekonomi ASEAN

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah hari ini, telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-20 secara persidangan video.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, mesyuarat itu dihadiri oleh menteri-menteri ekonomi negara-negara ASEAN dan Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi.

Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan turut hadir di mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin.

Mesyuarat merupakan persiapan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan 39, antara lain telah membincangkan mengenai pencapaian-pencapaian dan kemajuan Priority Economic Deliverables (PEDs) di bawah tunggak Komuniti Ekonomi ASEAN bagi Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN 2021.

Sehubungan itu, mesyuarat juga mengesahkan satu deliverable tambahan iaitu Bandar Seri Begawan Roadmap: An ASEAN Digital Transformation Agenda to Accelerate ASEAN’s Economic Recovery and Digital Economy Integration (BSBR).

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew mempengerusikan Mesyuarat AECC ke-20 melalui persidangan video. – Gambar serahan Kem. Kewangan dan Ekonomi

BSBR bertujuan untuk menyediakan hala tuju ke arah transformasi digital serantau bagi mencapai agenda ekonomi digital ASEAN.

Mesyuarat juga membincangkan dan memberikan panduan mengenai tindak balas dasar mengenai isu-isu dan cadangan dalam Laporan Mid-Term Review (MTR) AEC Blueprint 2025.
Selain itu, sejajar dengan bermulanya proses Visi Pasca-2025, para menteri bertukar-tukar pandangan mengenai megatrends dan emerging challenges, memberikan panduan kepada badan-badan sektoral AEC.

Sebelum berlangsungnya Mesyuarat AECC ke-20, satu dialog bersama telah pun diadakan di antara menteri-menteri Majlis AEC dan menteri-menteri digital ASEAN (ADGMIN).

Sesi itu dan mesyuarat memberi peluang kepada para menteri bertukar-tukar pandangan dalam membina sinergi seterusnya membincangkan mengenai penyelarasan bagi memajukan Agenda Transformasi Digital ASEAN.

Perbincangan antara lainnya memfokuskan kepada penyelarasan langkah-langkah ke hadapan dan pelaksanaan BSBR.

Pada sesi itu, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof mengongsikan bahawa sebelum ini, ASEAN Telecommunications and IT Ministers Meeting (TELMIN) telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah ASEAN ICT Masterplan 2015 dan ASEAN ICT Masterplan 2020, yang merupakan asas untuk transformasi digital di rantau ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya memaklumkan bahawa ADGMIN sedang melaksanakan ASEAN Digital Masterplan 2025 melalui pelbagai aktiviti dan pelan kerja di bawah ASEAN Digital Senior Officials Meeting (ADGSOM), yang akan dapat diselaraskan dengan tindakan utama dan fasa-fasa yang dikenal pasti di bawah BSBR.