AELM ke-27 bersidang hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Langkah-langkah pasca-COVID-19 dan visi antarabangsa bersama bakal menjadi antara tumpuan-tumpuan utama apabila para Ketua Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) sama-sama menyertai Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM) ke-27 yang bakal diadakan secara maya buat julung-julung kalinya, melalui persidangan video esok.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berkenaan menyertai mesyuarat.

Mesyuarat AELM Ke-27 – yang bertemakan Optimising Human Potential towards a Resilient Future of Shared Prosperity: Pivot, Prioritise, Progress akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia selaku Pengerusi APEC 2020, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, mesyuarat akan mendengar pembentangan Global Economic Out-look daripada pengarah urusan Dana Monetari Antarabangsa (IMF) dan dijangka akan membincangkan topik-topik termasuk langkah-langkah pemulihan dari pandemik COVID-19 serta elemen-elemen utama dalam menggalakkan para ekonomi menerokai peluang-peluang baharu untuk bekerjasama dalam menghadapi cabaran-cabaran dan isu-isu baharu pada masa akan datang.

APEC terdiri daripada 21 ekonomi di rantau Asia Pasifik iaitu Australia, Negara Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Republik Rakyat China, Hong Kong, China, Indonesia, Jepun, Republik Korea, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Republik Filipina, Persekutuan Rusia, Singapura, Chinese Taipei, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.