AEM bincang usaha pemulihan pasca pandemik

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Di bawah tema We Care, We Prepare, We Prosper, Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-53 bersidang secara persidangan video selama dua hari hingga hari ini.

Mesyuarat tersebut telahpun dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan dihadiri oleh menteri-menteri ekonomi negara-negara anggota ASEAN dan Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi.

Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Dalam ucapan pembukaannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew melahirkan harapan agar ASEAN dapat melangkah maju menjelang pasca COVID-19 dengan perspektif ekonomi baharu dan penyusunan semula keutamaan nasional dan serantau agar ASEAN dapat membaik pulih dan meraih manfaat secara bersama.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, semasa sesi mesyuarat berkenaan, para menteri telah bertukar pandangan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan situasi COVID-19 di rantau ini, dan maklumat terkini dan amalan terbaik dalam usaha pemulihan pasca pandemik; manfaat yang dapat diperolehi daripada transformasi digital yang berterusan di rantau ini; dan dasar ekonomi hijau dalam konteks pembangunan mampan sebagai strategi pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri mesyuarat tersebut secara persidangan video, kelmarin.

Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai kemajuan pencapaian Priority Economic Deliverables (PEDs) di bawah kepimpinan Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN 2021 yang mana menteri-menteri telah mengesahkan beberapa PEDs yang terkandung.

Para Menteri juga telah dimaklumkan mengenai perkembangan persiapan bagi penguatkuasaan Perjanjian Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) dan mengambil maklum kerja-kerja perlaksanaan telah dibuat oleh Jawatankuasa bersama Interim-RCEP yang dijangka akan berkuat kuasa pada Januari 2022.

Mesyuarat juga telah mengadakan sesi bersama perwakilan ASEAN Business Advisory Council (BAC) dan bertukar pandangan mengenai isu berkaitan usaha pemulihan pasca COVID-19.
Sebelum berlangsungnya AEM ke-53, Mesyuarat ASEAN Free Trade Area (AFTA) Council ke-35 dan Mesyuarat ASEAN Investment Area (AIA) ke-24 telah pun diadakan.

Mesyuarat AFTA Council ke-35 membincangkan perkembangan dan kemajuan pelaksanaan ASEAN Trade In Goods Agreement (ATIGA).

Sementara itu, mesyuarat AIA Council ke-24 antara lain membincangkan kemajuan terkini aktiviti pelaburan di ASEAN dan membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Pengawasan

Pelaburan ASEAN untuk 2021 dan isu-isu yang berkaitan dengan perdagangan barangan dan pelaburan di rantau ASEAN.

Mesyuarat berkenaan telahpun dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin dan dihadiri oleh pegawai-pegawai ekonomi kanan negara-negara anggota ASEAN, pegawai-pegawai dari Sekretariat ASEAN dan pegawai-pegawai dari Bahagian Perdagangan di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.