CHANGZHOU, 11 Jan – Aksi pertama Malaysia dan Palestin di Kejohanan Bola Sepak Konfederasi Bawah 23 (AFC B-23) bermula dengan langkah kiri apabila kedua-dua pasukan itu kalah pada perlawanan pembukaan kumpulan mereka pada kelmarin.
Bermain di Changshu, salah satu daripada empat bandar di wilayah Jiangsu, Iraq berjaya mengalahkan Malaysia 4-1 di Kumpulan C, apabila Abdulghani Shahad meletakkan prestasi cemerlang untuk memulakan kempen Kejohanan AFC B-23 itu, sementara juara bertahan Jepun memulakan pertahanan gelarannya dengan menang tipis 1-0 ke atas Palestin dalam aksi Kumpulan B.
Mohammed Jaffal, Amjed Attwan, Alaa Mwahi dan Hussain Ali semuanya berjaya menjaringkan gol untuk Iraq bagi memastikan negara itu dapat lagi menjulang gelaran juara yang pernah dimenanginya pada tahun 2014 itu.
Iraq beraksi cemerlang seawal minit kelima apabila Jaffal berjaya menjaringkan gol untuk negara itu.
Ketika skuad Malaysia masih mencari rentak untuk mengimbangi perlawanan, Attwan pula menghukum benteng Malaysia yang gagal mengeluarkan bola ke kawasan selamat selepas berjaya mencuri dan melepaskan rembatan pada minit ke-28 untuk Iraq mendahului 2-0 sehingga tamat babak pertama.
Pada minit ke-56 pula, Mwahi membuat jaringan melalui tendangan kaki kiri untuk memimpin Iraq kemenangan 3-0.
Selepas Malaysia akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-79, Iraq memberi tindak balas cepat apabila Ali berjaya menewaskan benteng pertahanan Malaysia untuk menjaringkan gol dengan mudah dua minit kemudian. – Xinhua