AFC optimis bola sepak Asia tarik perhatian global

KUALA LUMPUR, 28 NOV – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yakin benua Asia yang bakal menganjurkan beberapa kejohanan besar akan mencuri tumpuan seluruh dunia pada tahun depan.

Justeru, Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC, Datuk Hamidin Mohd Amin menggesa semangat kekitaan dalam kalangan negara anggota badan induk itu adalah penting menjelang tersingkapnya tabir 2022 yang bakal menyaksikan Asia menganjurkan Piala Asia Wanita AFC dan Piala Dunia Wanita Bawah 17 (B-17) FIFA yang kedua-duanya diadakan di India serta Piala Dunia FIFA di Qatar.

“Benua Asia menjadi tumpuan dunia sepanjang 2022. Semangat kekeluargaan yang menjadi kunci kebangkitan sepanjang tempoh dua tahun yang sukar wajar dipupuk bagi memastikan 2022 sebagai tahun cemerlang buat Asia.

“Apa yang penting sekarang ialah untuk kita membina momentum pemulihan yang meningkat pada 2022 dan menggunakan peluang yang ada agar benua Asia terus menjadi tumpuan bola sepak dunia,” katanya dalam satu hantaran dimuat naik menerusi laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Hamidin yang juga Presiden FAM berkata demikian ketika menghadiri Kongres AFC ke-31 yang diadakan secara maya, kelmarin.

Gesaan disuarakan Hamidin adalah selaras dengan amanat Presiden FIFA, Gianni Infantino yang turut memuji perpaduan negara ahli gabungan AFC yang disifatkannya berjaya membawa bola sepak Asia bangkit semula kesan daripada pandemik COVID-19. – Bernama