AFC susun semula bajet pertandingan musim 2021

KUALA LUMPUR, 9 SEPT – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sedang menyusun semula bajet bagi musim 2021 berikutan impak pandemik COVID-19 yang menjejaskan jadual pertandingan badan induk itu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan AFC Datuk Hamidin Mohd Amin berkata keputusan sebulat suara mengenai penyusunan semula belanjawan AFC diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kewangan AFC secara maya, semalam.

“Susulan impak COVID-19, kebanyakan perlawanan (tahun 2020) ditunda ke 2021, menjadikan simpanan kewangan bagi tahun 2020 meningkat. Mesyuarat memutuskan simpanan kewangan itu dibawa ke hadapan untuk tahun 2021.

“Bagi perlawanan seperti Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC, Jawatankuasa Kewangan AFC meluluskan penambahan bajet sejajar dengan persiapan dan penjadualan baharu bagi baki empat bulan tahun ini dan 2021, juga bajet Kejohanan Futsal Lelaki dan Wanita AFC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamidin, yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan subsidi yang akan diagihkan kepada 12 pasukan yang layak ke pusingan akhir Zon Asia Kelayakan Piala Dunia 2022. – Bernama