AFC teruskan kejohanan tahun ini

KUALA LUMPUR, 15 APRIL – Kejohanan bola sepak terbesar Asia akan tetap diteruskan tahun ini meskipun pandemik koronavirus, pegawai tertinggi memberitahu AFP, walaupun perlawanan terpaksa berlangsung tanpa kehadiran penyokong.

Windsor John, setiausaha am Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), berkata dia berasa yakin bahawa Liga Juara-juara AFC dan Piala AFC kedua-duanya akan berjaya ditamatkan.

Kedua-dua kejohanan, menyaksikan penampilan pasukan-pasukan dari negara-negara Asia, Asia Tengah dan Timur Tengah, telah ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya hujung bulan Jun selepas COVID-19 telah menjejaskan sukan profesional di seluruh dunia.

“Kedua-duanya akan berlangsung tahun ini. Kami masih mempunyai masa,” John memberitahu AFP, dengan menambah tarikh baharu untuk kejohanan itu akan dimaklumkan pada hujung bulan April.

Tetapi, John tidak menafikan mengenai perlawanan diadakan tanpa peminat ‘jika itu yang diperlukan oleh pihak berkuasa’.

AFC bertekad untuk kedua-dua kejohanan diteruskan atas sebab kesukanan dan untuk melaksanakan tanggungjawab komersial, katanya.

Dia memberi komen selepas AFC kelmarin mengumumkan penundaan kesemua perlawanan yang dijadualkan pada bulan Mei dan Jun disebabkan oleh virus.

Liga Juara-juara, pertandingan kelab utama rantau itu, dan Piala AFC peringkat kedua,kedua-duanya telah dihentikan pada bulan Mac dengan penularan pandemik telah memaksa kerajaan untuk melaksanakan sekatan perjalanan yang ketat. – AFP