Monday, March 24, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Afdlin Shauki tingkatkan kerja amal

    ANAK seni, Afdlin Shauki menyifatkan gelaran ‘Datuk’ yang diterimanya, sebagai pendorong semangatnya untuk lebih aktif dalam kerja amal bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

    Afdlin Shauki, 46, berkata, penganugerahan itu juga ‘kena pada masanya’ kerana beliau baharu sahaja menubuhkan Yayasan Afdlin Shauki beberapa bulan lalu supaya kerja amal tersebut dapat dilakukan dalam keadaan yang lebih teratur dan tertib.

    Beliau yang sudah 26 tahun terlibat dalam bidang seni juga menyifatkan pemilihannya sebagai seorang daripada penerima anugerah sebagai penghargaan daripada institusi kesultanan dan kerajaan negeri Pahang kepada anak seni.

    “Namun begitu, penghargaan ini tidak boleh dilihat dari sudut anak seni semata-mata… ada bidang lain yang juga diberi perhatian seperti kerja amal. Saya melihat gelaran ini datang dengan tanggungjawab yang cukup besar supaya kemuliaannya dipelihara,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

    Pengarah Urusan Vision Works (M) Sdn Bhd Datuk Afdin Shauki Aksan menerima Darjah Kebesaran Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

    Afdlin Shauki atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan merupakan seorang daripada 33 penerima darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Pingat Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

    Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan istiadat itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda