AFF beri sokongan penuh kepada Australia, New Zealand

KUALA LUMPUR, 17 JUN – Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) telah memberikan sokongan penuhnya kepada permohonan Australia dan New Zealand untuk menjadi tuan rumah bersama bagi Piala Dunia Wanita FIFA 2023.

Presiden AFF Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata badan pentadbir sukan bola sepak serantau itu yakin bahawa Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) dan Persekutuan Bola Sepak New Zealand (NZF), dengan kerjasama kerajaan masing-masing, bakal menampilkan sesuatu yang luar biasa jika berjaya dalam usaha mereka untuk menjadi tuan rumah kejohanan tersebut.

“Kami yakin bahawa Australia dan New Zealand akan memenuhi janji mereka dan menjadi tuan rumah yang sempurna bagi Piala Dunia Wanita FIFA pada 2023. FFA dan NZF mempunyai sokongan penuh kami,” menurut Sameth dalam kenyataan yang dikeluarkan AFF hari ini.

AFF membuat kenyataan menyokong usaha kedua-dua negara yang melobi untuk menjadi tuan rumah kejohanan berprestij itu semasa Mesyuarat Majlis kelimanya secara maya semalam.

Sameth berkata Australia dan New Zealand telah berjaya menganjurkan pelbagai kejohanan bertaraf antarabangsa sebelum ini seperti Piala Dunia Bawah 20 Tahun pada 1993 dan 2015, Olimpik Sydney 2000, Piala Dunia Ragbi 2011, Piala Dunia Kriket ICC 2015  dan Kejohanan Bola Sepak Piala Asia 2015. – Bernama