Afghanistan bebaskan 80 banduan Taliban

KABUL, 14 OGOS – Kerajaan Afghanistan semalam membebaskan 80 daripada 400 banduan Taliban, lapor agensi berita Xinhua, memetik jurucakap Pejabat Majlis Keselamatan Kebangsaan Afghanistan pada hari ini.

Pembebasan banduan itu diluluskan oleh Perunding Loya Jirga atau Majlis Tertinggi, kata jurucakap Javid Faisal dalam satu kenyataan.

Perjanjian damai yang ditandatangani antara Amerika Syarikat (AS) dan Taliban di Qatar pada bulan Februari mewajibkan Afghanistan membebaskan 5,000 tahanan manakala sebagai ganti, kumpulan itu akan melepaskan 1,000 orang askar atau kakitangan kerajaan.

Sejak awal Mac, Afghanistan sudah membebaskan 5,100 termasuk 500 banduan yang tidak termasuk dalam senarai Taliban.

Sementara itu, Taliban telah membebaskan 1,000 tentera atau kakitangan Afghanistan sebelum ini, tetapi kerajaan menangguhkan pembebasan 400 tahanan Taliban kerana terlibat dalam jenayah serius.

Pada Isnin, Presiden Mohammad Ashraf Ghani mengeluarkan keputusan untuk mengampunkan dan membebaskan 400 tahanan Taliban, sehari selepas 3,400 anggota Loya Jirga mengundi.

Di bawah perjanjian itu, pasukan perikatan yang dipimpin AS dan NATO akan meninggalkan Afghanistan menjelang Julai tahun depan, bergantung sama ada Taliban memenuhi syarat perjanjian berkenaan, termasuk memutuskan hubungan dengan kumpulan pengganas asing. – Bernama