Afghanistan bergelut hadapi dua musuh

Oleh Sim Y. H.

Gambar serahan ICRC

Keganasan dan serangan yang semakin meningkat ke atas kemudahan serta bangunan penjagaan kesihatan di Afghanistan telah mengancam untuk mengurangkan atau mencegah akses kepada perkhidmatan kesihatan bagi jutaan rakyat Afghanistan.

Akses kepada perkhidmatan perubatan itu amat diperlukan oleh rakyat Afghanistan lebih-lebih lagi dengan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara itu, jelas Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 17 Jun.

Dalam usaha untuk menentangkan penularan COVID-19, ia memerlukan komitmen daripada semua pihak yang terlibat dalam konflik berkenaan dan ke arah itu, ICRC menyeru bagi perlindungan kepada misi perubatan serta pengukuhan sistem penjagaan kesihatan di tempat-tempat seperti kemudahan tahanan di mana pautan berkenaan adalah yang paling lemah.

Afghanistan seperti banyak negara yang dilanda perang, mempunyai sistem kesihatan yang dicabar hebat oleh liputan yang terhad di kawasan-kawasan yang terjejas oleh konflik, penjagaan kesihatan khusus yang lemah dan kini, dibebankan dengan penularan wabak COVID-19.

Serangan ke atas kemudahan kesihatan atau kakitangan kesihatan, seperti serangan maut pada Mei lalu terhadap hospital bersalin yang disokong oleh MSF di Kabul, hanya memburukkan lagi keadaan, jelas kenyataan ICRC itu lagi.

ATAS & BAWAH : Petugas barisan hadapan dan kakitangan hospital berdepan situasi sukar untuk mencegah penularan COVID-19 semasa negara itu juga berdepan peperangan.

“Serangan baru-baru ini di Afghanistan amat membimbangkan. Selepas terdapat pengurangan ketegangan pada Februari dan Mac, kita sekali lagi menyaksikan lebih banyak keganasan.

“Semakin ramai orang awam terkorban semasa negara sedang berjuang menentang COVID-19,” jelas Ketua Delegasi ICRC di Afghanistan, Juan Pedro Schaerer.

Beliau berkata COVID-19 telah mencabar negara-negara yang maju dan bagi sebuah negara di mana mereka yang bersenjata menyerang sebuah hospital, kita tidak mempunyai peluang untuk menyediakan penjagaan berkualiti.

“Kami melihat perkara itu di kemudahan kesihatan di kawasan yang terjejas oleh konflik dan di penjara di mana mereka sudah mempunyai akses yang terhad kepada penjagaan kesihatan,” katanya lagi.

Hospital terbesar di Afghanistan, Mirwais Regional Hospital di Kandahar yang telah disokong lebih 20 tahun oleh ICRC, kakitangannya terus menyediakan penjagaan obstetrik dan pembedahan bagi mereka yang cedera dalam peperangan.

Disebabkan oleh peningkatan kes COVID-19, hospital itu kini beroperasi dengan kapasiti yang rendah walaupun ia masih menyaksikan kadar pesakit yang cedera dalam pertempuran dan kelahiran anak yang seperti biasa.

Hospital Mirwais juga merupakan hospital serantau memberikan perkhidmatan kepada enam juta orang penduduk di Selatan Afghanistan di mana sebilangan besar pesakitnya terutama di wad pembedahan datang dari kawasan di mana pertempuran di antara tentera kerajaan dan Taliban terus berlaku.

Perkara yang membimbangkan lagi, sebilangan kes COVID-19 di Afghanistan adalah petugas kesihatan yang menyebabkan bebanan kepada sistem di mana Hospital Mirwais sering berhadapan dengan kekurangan penutup mulut dan hidung serta cecair pensanitasi tangan disebabkan gangguan kepada aliran logistik akibat penularan wabak tersebut.

Pada masa yang sama, jumlah mereka yang menderma darah juga menurun tetapi keperluan darah terus meningkat.

Pengurus Projek Hospital Mirwais ICRC, Erin O’Connor ketika mengulas mengenai keadaan bekalan darah, berkata, terdapat beberapa cabaran seperti saluran bekalan yang dapat dibantu oleh ICRC tetapi untuk mendapatkan penderma darah supaya menderma darah dalam keadaan penularan COVID-19 adalah lebih mencabar.

Juan Pedro Schaerer berkata lagi bahawa pada masa ini, kita sedang menentang musuh seluruh dunia di mana persetujuan seluruh negara diperlukan dalam menangani COVID-19.

“Sebagai permulaan, menghormati sepenuhnya undang-undang kemanusiaan oleh semua pihak, tanpa pengecualian, amat diperlukan untuk melindungi orang awam di Afghanistan.”

Bagi membantu untuk mengurangkan penularan COVID-19 di Afghanistan, ICRC bersama-sama dengan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah memberikan bantuan kepada Hospital Daerah Kabul dengan menyediakan latihan, kawalan jangkitan, protokol penjagaan pesakit dan kebersihan serta peralatan.

Mereka juga menyediakan 12 buah hospital medan dan petugas dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) termasuk penutup mulut dan hidung, sarung tangan, pensanitasi tangan serta khidmat nasihat.

Di samping itu, peralatan kebersihan turut diagihkan kepada tujuh buah Pusat Pemulihan Fizikal di Afghanistan untuk memperkukuhkan lagi langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di mana ribuan orang kelainan upaya telah dibantu.