Afghanistan kembali hidupkan warisan negara dengan pembukaan muzium

KABUL, AFGHANISTAN – Muzium Negara Afghanistan dibuka sekali lagi dan Taliban, yang ahlinya pernah merempuh kemudahan itu yang memusnahkan warisan negara sukar ganti, kini kelihatan antara pelawat yang paling bersemangat.

Muzium di barat daya Kabul, yang menempatkan artifak dari zaman Paleolitik hingga abad ke-20, dibuka semula lebih seminggu lalu buat pertama kali sejak Taliban mengambil alih Afghanistan pada pertengahan Ogos di tengah-tengah pengunduran tentera Amerika Syarikat dan NATO yang huru-hara.

Pengarahnya, Mohammad Fahim Rahimi, dan kakitangannya setakat ini dibenarkan untuk meneruskan jawatan mereka walaupun mereka, seperti kebanyakan penjawat awam Afghanistan, tidak menerima gaji sejak Ogos. Hanya pengawal keselamatan yang bertukar, kata Rahimi, dengan Taliban kini menggantikan kontinjen polis yang pernah mengawal bangunan itu dan menyediakan pengawal keselamatan wanita untuk memeriksa pengunjung wanita. Pada masa ini kira-kira 50 hingga 100 orang melawat muzium setiap hari.

Gangguan bekalan elektrik kerap berlaku dan penjana muzium telah rosak, menyebabkan banyak bilik pameran dalam kegelapan. Pada Jumaat lalu, beberapa Taliban dengan senapang tergantung di bahu mereka, adalah antara pengunjung yang menggunakan lampu telefon bimbit mereka untuk melihat ke dalam kotak paparan seramik kuno dan senjata abad ke-18.

“Ini adalah dari sejarah purba kami, jadi kami datang untuk melihatnya,” kata pejuang Taliban, Mansoor Zulfiqar, 29, yang berasal dari wilayah Khost di tenggara Afghanistan yang kini telah dilantik sebagai pengawal keselamatan di Kementerian Dalam Negeri. “Saya sangat gembira,” katanya mengenai lawatan pertamanya ke muzium itu, mengagumi warisan negaranya.

Zulfiqar berkata dia telah menghabiskan 12 tahun di penjara Pul-e-Charkhi yang terkenal di Kabul, penjara terbesar di Afghanistan. Semasa di sana, katanya, seseorang telah memberitahunya tentang muzium itu dan dia mengimpikan hari apabila Taliban memerintah Afghanistan semula dan dia akan dapat melawat muzium itu.

Konservator Mohammad Name Noorzai bekerja di Muzium Negara Afghanistan, di Kabul. – AP

Tetapi ketika Zulfiqar masih kecil pada tahun 2001, Taliban menggeledah muzium itu, menghancurkan patung-patung yang tidak ternilai, terutama yang dianggap tidak Islamik. Salah satu daripadanya, sisa-sisa patung batu kapur yang dipercayai seorang raja yang berasal dari abad ke-2, berdiri di pintu masuk bangunan muzium, kini dipulihkan oleh pakar dari Perancis dan jabatan pemulihan muzium itu sendiri.

Pada tahun yang sama, Taliban mengebom dua patung Buddha gergasi abad ke-6 yang diukir di Bamiyan di tengah Afghanistan atas arahan pemimpin Taliban, Mullah Mohammed Omar, satu tindakan yang membangkitkan kemarahan antarabangsa.

Oleh itu, ketika Taliban merampas Afghanistan pada musim panas ini, menawan wilayah demi wilayah, terdapat kebimbangan besar nasib yang sama menanti warisan budaya negara, terutamanya artifak dari zaman pra-Islam. Sekurang-kurangnya setakat ini, ini nampaknya tidak berlaku.

Saifullah, seorang anggota Taliban berusia 40 tahun dari wilayah Wardak dan guru di sebuah madrasah, berkata dia percaya pemusnahan artifak di muzium itu pada 2001 telah dilakukan oleh anggota Taliban yang berpangkat rendah tanpa arahan daripada pegawai atasan.

Menjelajah muzium buat kali pertama, Saifullah, berkata dia akan menggalakkan pelajarnya, yang sebahagian daripada mereka kini menjadi pengawal di muzium itu sendiri, untuk melawat Muzium Negara Afghanistan.

“Generasi boleh belajar daripada ini, dan apa yang kita ada pada masa lalu,” katanya. “Kami mempunyai sejarah yang kaya.”

Mungkin pemerintah baharu Afghanistan kini bersetuju dengan inskripsi yang terukir pada plak di luar pintu masuk bangunan muzium: “Sebuah negara akan tetap hidup apabila budayanya tetap hidup.” – AP