Afghanistan mungkin dilanda perang saudara

WASHINGTON, 5 SEPT – Pegawai kanan tentera Amerika Syarikat (AS) tidak menolak kemungkinan berlaku perang saudara di Afghanistan jika Taliban terus gagal mengawal keadaan.

Malah, kata Pengerusi Ketua Staf Bersama AS, Jeneral Mark Milley, keadaan huru-hara itu mungkin menyaksikan kemunculan kumpulan pengganas di negara terbabit.

“Ini dapat dilihat apabila lembah Panjshir masih lagi dikuasai pemberontak, sebahagian besarnya kumpulan Mujahidin, ketika seluruh Afghanistan dikuasai Taliban.

“Pada pandangan ketente-raan saya… ini adalah keadaan yang sesuai untuk berubah menjadi perang saudara,” katanya kepada Fox News.

Beliau juga mempersoalkan sama ada Taliban, yang belum membentuk kerajaan, akan mampu bergabung tenaga bagi mewujudkan pentadbiran yang kukuh.

“Saya rasa wujud kemungkinan besar bahawa perang saudara akan berlaku dan sete-rusnya mendorong kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda atau Daesh menyelinap masuk.

“Walaupun tidak dapat meramalkan dengan tepat, penilaian saya adalah Afghanistan berdepan masa depan yang suram dan perkembangan semasa menjurus ke arah itu… mungkin dalam 12, 24 atau 36 bulan lagi,” katanya.

AS menyerang Afghanistan dan menggulingkan rejim Taliban buat pertama kali pada 2001 dalam operasi selepas serangan 9/11 oleh Al-Qaeda, yang diberi perlindungan di negara itu. Kini kerajaan Barat khuatir Afghanistan mungkin kembali menjadi syurga pengganas yang mahu menyerang kepentingan mereka. – AFP

Ketua Turus Tentera Jeneral Mark Milley bercakap semasa taklimat bersama Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin di Pentagon di Washington, mengenai berakhirnya peperangan di Afghanistan. – AP