Afieq sedih teringat kisah adik Aiman

Dalam keseronokan lagu dendangan, Lelaki Di Telefon mendapat sambutan hangat, terselit kisah duka yang tidak mungkin dilupakan penyanyi, Afieq Shazwan, sampai bila-bila.

Sehari selepas lagu itu dilancarkan, Afieq menerima khabar duka peminat cilik yang berusia lapan tahun dikenali sebagai Aiman, menjadi korban kanser.

Terkejut bukan kepalang apabila Afieq mendapat panggilan telefon daripada bapa Aiman yang memaklumkan anak tersayang sudah pergi menemui Yang Maha Esa. Sedangkan, dua hari sebelum itu, Afieq sempat meluangkan masa bersama Aiman yang tampak sangat ceria.

“Saya menerima panggilan telefon daripada bapa arwah yang mengundang saya menghadiri acara untuk kanak-kanak penghidap kanser. Pada mulanya, saya beritahu tidak dapat hadir kerana terikat komitmen lain.

“Bagaimanapun, selepas menyemak kembali jadual, saya perasan komitmen itu pada sebelah petang. Jadi, dapatlah saya meluangkan masa untuk pergi ke acara itu.

“Sebaik sampai, Aiman tampak gembira tetapi tidak sangka, dua hari selepas itu, saya mendapat khabar dia sudah meninggal dunia selepas sesak nafas. Ketika tiba di hospital, saya difahamkan nadinya sudah tiada” kata Afieq sambil menahan getar.

Tambahnya, mungkin berkat menggembirakan anak-anak istimewa itu, lagu Lelaki Di Telefon yang dilancarkan sehari selepas itu mendapat sambutan menggalakkan. Ternyata percaturannya untuk memenuhi undangan bapa Aiman menjadi keputusan tepat.

Rentetan itu, kata Afieq, sempena pelancaran single terbaharunya Gerak Lu, bulan depan, dia berhasrat menganjurkan majlis khas bagi meraikan 10 kanak-kanak pesakit kanser secara eksklusif. “Saya berhajat membawa mereka ke sebuah dewan untuk meraikan, bersantai dan makan-makan selepas single terbaharu dilancarkan. Saya hanya ingin menggembirakan mereka. Saya juga berhasrat menghadiahkan mereka patung beruang yang ditempah khas,” katanya kepada media. – Agensi

Di sebalik lagu Lelaki Di Telefon, terselit kisah duka yang tidak mungkin dilupakan Afieq Shazwan mengenai khabar duka peminat cilik yang berusia lapan tahun dikenali sebagai Aiman yang menjadi korban kanser. – Agensi