Afjets tuntut saman RM500,000 dibayar

Selepas lebih lima tahun berlarutan, saman sejumlah RM500,000 terhadap kumpulan Search yang dituntut oleh sebuah syarikat penganjur konsert iaitu Afjets Sdn Bhd masih belum diselesaikan.

Susulan kes tersebut, pihak Afjets bakal mengambil tindakan untuk mengarahkan peguam mereka bagi melaksanakan perintah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Ogos 2017 agar tuntutan tersebut dilaksanakan.

Memandangkan kejayaan dua konsert Search baru-baru ini iaitu Search Endemik dan Rocking on the Rooftop, Afjets beranggapan pihak pengurusan kumpulan legenda rock ini sepatutnya sudah mampu untuk membayar tunggakan saman mereka.

Menurut ketua pegawai eksekutif Afjets iaitu Amrul Nizar Anuar, dalam tempoh lima tahun selepas mahkamah membuat keputusan itu, Search hanya berjanji mahu membuat pembayaran.

Namun sehingga kini kumpulan itu tidak pernah dilihat berusaha melakukan sebarang inisiatif bertindak sedemikian.

Kejayaan Search dalam konsert bersama vokalis Denden. – Agensi

“Sebelum ini tak mungkin saya nak tuntut bayar jika mereka tidak mampu. Bagaimanapun saya lihat sekarang ini mereka sudah mampu.

“Kid dan Din ada katakan untuk bayar sebelum ini namun sehingga kini seakan-akan tiada inisiatif yang diambil. Saya sudah bagi tempoh masa lima tahun untuk membuat pembayaran,” katanya ketika dihubungi mStar.

Amrul memberitahu dia sedia berbincang dengan Search tentang perancangan bayaran tuntutan tersebut dan juga sedia menganjurkan konsert sekali lagi jika ia boleh menyelesaikan kemelut yang melanda.

Dalam pada masa yang sama, Amrul juga berharap agar Search yang berpecah sejak Mac 2020 dapat bersatu kembali dan memudahkan urusan pembayaran tuntutan berkenaan.

“Saya bukanlah kejam sangat hendak menuntut bayaran secara penuh. Search juga adalah salah satu kumpulan yang saya minat cuma apabila proses audit dilakukan oleh syarikat saya, tuntutan saman tersebut masih belum diselesaikan.

“Saya sedia berjumpa dengan mereka dan berbincang tentang perancangan untuk membayar. Saya juga masih sanggup kalau mahu mengadakan konsert bersama.

“Dalam masa sama, saya harap mereka kembali bersatu supaya jadi ‘satu kepala’ dan urusan ini lebih mudah,” ujarnya. – Agensi