AFL batal saingan Liga M3 musim ini

KUALA LUMPUR, 8 JUN – Liga Bola Sepak Amatur (AFL) membatalkan saingan Liga M3 musim ini demi menjaga kesihatan dan keselamatan masyarakat susulan penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata keputusan itu yang dibuat pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini turut mengambil kira implikasi wabak terhadap kedudukan kewangan kelab amatur Liga M3.

“Dengan kebanyakan perlawanan Liga M3  di venue  terbuka, ini pasti menyukarkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengelolaan perlawanan khususnya dalam memantau pergerakan individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

“Malah, kekangan kewangan pasukan Liga M3 menyukarkan mereka mengikuti SOP atau membeli peralatan yang diwajibkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi proses saringan COVID-19 seperti cecair pembasmi kuman atau alat pengimbas suhu badan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan MFL hari ini. – Bernama