AFMGM+3 bincang kerjasama serantau

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Bahyiah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor-gabenor Bank Pusat ASEAN+3 (AFMGM+3) ke-24, telah diadakan pada hari ini melalui persidangan maya dan dihadiri oleh wakil-wakil dari negara-negara ahli ASEAN, Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan bersama oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Hajah Rokiah binti Haji Badar; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi dan Kewangan Republik Korea, Tuan Yang Terutama Nam-Ki Hong dan Gabenor Bank of Korea, Juyeol Lee.

Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Setiausaha Tetap (Prestasi dan Korporat) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayang Suraya binti Haji Jaidin dan Timbalan Pengarah Urusan AMBD, Hajah Noorrafidah binti Sulaiman.

Semasa sesi Economic Policy Review Dialogue, para menteri dan gabenor, bersama dengan Asian Development Bank, International Monetary Fund, ASEAN Plus Three Macroeconomic Research Office (AMRO), dan Sekretariat ASEAN, telah pun bertukar-tukar pandangan mengenai tinjauan ekonomi global dan serantau dan juga kerjasama untuk mengekalkan pemulihan ekonomi serantau. Dalam pada itu, mesyuarat telah menekankan beberapa langkah yang membolehkan pencapaian pertumbuhan ekonomi yang resilient, inklusif dan mampan dengan memanfaatkan teknologi, menggunakan modal swasta untuk pembiayaan infrastruktur dan pembiayaan hijau, serta meningkatkan modal insan.

Berhubung perbincangan mengenai kerjasama kewangan ASEAN+3, para menteri dan gabenor mengalu-alukan kerjasama yang sedia ada, termasuk melalui Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM), AMRO, Asian Bond Markets Initiative (ABMI) dan Arah Strategik Proses Kewangan ASEAN+3.

Selain itu, menteri-menteri dan gabenor-gabenor juga menekankan komitmen untuk memperkukuhkan CMIM sebagai mekanisme self-help yang berkesan dan boleh dipercayai; meningkatkan ABMI dalam mempermudah transaksi rentas sempadan sekali gus meningkatkan kerjasama antara serantau; menyambut baik penubuhan empat kumpulan kerja bagi Infrastructure Financing, Macro-structural Instruments, Strengthening Financial Resilience against Natural Disasters dan Enhancing Policy Coordination for Technological Advancement di bawah kerjasama strategik ASEAN+3; dan menyokong anggota ASEAN + 3 dalam menganalisis dan berkongsi dasar bermanfaat dalam menangani pandemik COVID-19.

Dalam mesyuarat, para menteri dan gabenor menekankan sokongan kepada AMRO dalam memenuhi mandatnya sebagai pertubuhan antarabangsa yang bebas, berwibawa dan profesional yang bertindak sebagai penasihat yang dipercayai untuk ahli-ahli ASEAN+3.

Para menteri dan gabenor menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor-gabenor Bank Pusat ASEAN+3 (AFMGM+3) ke-24 yang diadakan kelmarin.
Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin.