Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    AFMGM+3 komited tingkatkan kerjasama kewangan serantau

    Oleh Sim Y. H.

    Kerjasama kewangan ASEAN+3 memainkan peranan yang lebih penting dalam menyokong ekonomi serantau untuk mengemudi risiko dan cabaran yang dihadapi oleh rantau berkenaan.

    Dalam hubungan itu, menteri-menteri kewangan dan gabenor-gabenor bank pusat ASEAN+3 bersetuju untuk mendalamkan lagi kolaborasi masing-masing untuk meningkatkan kerjasama kewangan serantau termasuk melalui Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM), ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO), Asia Bond Market Initiative (ABMI) dan Inisiatif-inisiatif Masa Hadapan ASEAN+3.

    Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor-gabenor Bank Pusat ASEAN+3 ke-25 (AFMGM+3) yang dipersetujui oleh menteri-menteri kewangan dan gabenor-gabenor bank pusat ASEAN+3 yang bersidang dalam mesyuarat secara maya pada 12 Mei lalu.

    Kenyataan bersama menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan terkini bagi ekonomi serantau dan global serta respons dasar kepada risiko dan cabaran berkenaan.

    Ekonomi ASEAN+3 kekal teguh dalam cabaran-cabaran yang hadir disebabkan oleh pandemik COVID di mana sejak awal 2021, negara-negara ASEAN+3 berusaha untuk meningkatkan kadar vaksinasi bagi melindungi penduduk masing-masing dan untuk mengambil langkah-langkah pengawalan yang lebih disasarkan bagi meminimumkan kesannya kepada ekonomi serta menyokong pemulihan.

    Kenyataan menyatakan hasil daripada usaha itu telah menyaksikan pertumbuhan mantap bagi rantau itu pada kadar kira-kira 6 peratus pada 2021. Meramal dengan perlindungan yang kuat disebabkan oleh kadar vaksinasi yang tinggi di rantau berkenaan dapat melihat pembukaan semula dan pemulihan ekonomi pada tahun 2022.

    Antara yang menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor-gabenor Bank Pusat ASEAN+3 ke-25 (AFMGM+3) yang bersidang secara maya pada 12 Mei lalu. – Gambar serahan MOFE

    Namun begitu, penormalan dasar monetari yang lebih tinggi daripada jangkaan di dalam sebahagian ekonomi maju utama, gangguan rantaian bekalan berterusan dan harga tenaga dan makanan yang meningkat yang diburukkan lagi oleh konflik Rusia-Ukraine pada masa ini, mungkin akan menimbulkan risiko penurunan kepada prospek bagi perdagangan dan pelaburan, pertumbuhan serta inflasi rantau.

    Para menteri dan gabenor yang bersidang juga mengambil maklum bahawa dasar-dasar sokongan berterusan adalah amat penting dalam mengurangkan kesan pandemik serta mengukuhkan pemulihan ekonomi mampan.

    Pada masa yang sama, mereka juga mengambil maklum akan pentingnya untuk mengelak daripada salah meletakkan sumber dan memastikan sokongan bagi sektor-sektor membangun dan baharu.

    Dalam mengukuhkan kerjasama kewangan serantau, menteri-menteri dan gabenor-gabenor yang bersidang menekankan kepada beberapa perkara iaitu CMIM, AMRO, ABMI, Inisiatif-inisiatif Masa Hadapan ASEAN+3 serta ASEAN+3 Financial Cooperation in Disaster Risk Financing and Insurance.

    Menyentuh mengenai CMIM, kenyataan bersama menyatakan bahawa pandemik COVID, kesan ekonominya dan ketidakpastian yang menyelubungi ekonomi global mengetengahkan pentingnya untuk mengukuhkan lagi CMIM.

    Dalam hubungan itu, para menteri dan gabenor mengalu-alukan persetujuan bagi sebuah kadar rujukan baharu untuk CMIM liquidity support arrangements di mana ia menyelaraskan kadar rujukkan CMIM dengan konvensyen pasaran kewangan global.

    Di samping itu, mereka juga mengalu-alukan pengemaskinian Garis Panduan Operasi CMIM (OG) bagi penggunaan mata wang tempatan setiap anggota bagi CMIM arrangements yang berkuat kuasa pada Januari 2022.

    Kenyataan bersama turut menyentuh mengenai AMRO di mana sejak penubuhannya pada 2011, ia telah memainkan peranan yang penting dalam membantu bagi perlindungan kestabilan kewangan dan makroekonomi di rantau ASEAN+3 melalui sokongan teknikal kukuh dan pemantauan mantap kepada CMIM.

    Para menteri dan gabenor menggalakkan AMRO untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong proses kewangan ASEAN+3 dengan menyediakan kepimpinan fikiran serta bertindak sebagai platform perkongsian ilmu pengetahuan untuk isu-isu utama yang memberikan kesan kepada rantau berkenaan.

    Dalam hubungan itu, para menteri dan gabenor mengalu-alukan penyertaan sulung AMRO sebagai pemerhati pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN+3 2021 dan mengesahkan sokongan penuh mereka untuk penyertaan berterusan AMRO bagi sidang-sidang kemuncak pemimpin masa hadapan.

    Manakala itu bagi ABMI, para menteri dan gabenor mengambil maklum akan perkembangan ke arah pelaksanaan ABMI Medium-Term Road Map 2019-2022 yang bermatlamat untuk mengukuhkan sokongan bagi pembiayaan infrastruktur, menjana sebuah ekosistem bagi perkembangan pasaran bon mampan, mempromosikan penstandardan dan penyelarasan pengawalseliaan, memperbaiki infrastruktur pasaran bon bagi memudahkan transaksi rentas sempadan serta menjana kolaborasi di kalangan inisiatif serantau.

    Sementara itu, berhubung dengan Inisiatif-inisiatif Masa Hadapan ASEAN+3, para menteri dan gabenor mengalu-alukan kemajuan yang ketara yang dibuat dalam mengembangkan dan mendalamkan lagi kerjasama kewangan ASEAN+3 termasuk perkembangan yang dibuat oleh empat Kumpulan Kerja (WG).

    Mereka juga mengambil maklum akan cadangan WG1 untuk meneroka penggunaan perintis dokumen pinjaman kewangan projek teras yang diseragamkan dan bekerjasama dengan ADB untuk mendraf sebuah laporan mengenai keutamaan infrastruktur pasca COVID serantau.

    Mereka juga merakamkan perasaan gembira dengan perkembangan yang dibuat oleh WG2 dalam membangunkan ASEAN+3 Macro-Structural Framework dengan sokongan AMRO.

    Pada masa yang sama, mereka juga mengambil maklum mengenai kertas konsep yang disediakan oleh WG3 untuk melaksanakan sebuah kaji selidik terperinci dalam kalangan negara anggota ASEAN+3 dengan matlamat untuk melancarkan sebuah inisiatif ASEAN+3 baharu bagi Pembiayaan Risiko Bencana iaitu membina inisiatif-inisiatif serantau yang sedia ada seperti ASEAN Disaster Risk Financing and Insurance (ADRFI) dan Southeast Asia Disaster Risk Insurance Facility (SEADRIF).

    Mereka turut mengalu-alukan kerja yang dilaksanakan oleh WG4 untuk memperbaiki penyelarasan dasar serantau bagi fintech dan memperkenalkan Sistem Perbankan Terbuka sebagai satu bidang bagi kerjasama teknikal di dalam rantau berkenaan.

    Kenyataan bersama itu turut menyentuh mengenai dengan ASEAN+3 Financial Cooperation in Disaster Risk Financing and Insurance di mana para menteri dan gabenor menyokong usaha SEADRIF dalam mengukuhkan daya tahan kewangan negara-negara anggota ASEAN terhadap risiko bencana dengan sokongan daripada Sekretariat ASEAN dan Bank Dunia.

    Mereka juga mengalu-alukan pengembangan keahlian SEADRIF dan perkembangan Program Public Asset Financial Protection serta mengalu-alukan negara-negara anggota ASEAN+3 yang lain untuk menyertai SEADRIF dan bagi rakan kongsi penyumbang di luar rantau ASEAN+3 untuk menyokong inisiatif berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...