AFML, SLOM bincang hal ehwal pekerja migran

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, baru-baru ini, telah menghoskan Forum ASEAN tentang Pekerja Migran (AFML) ke-14 serta menghadiri Mesyuarat Pegawai-pegawai Buruh Kanan ASEAN (SLOM) ke-17 dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Buruh Kanan ASEAN+3 (SLOM+3) ke-19, kesemuanya secara maya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, AFML adalah platform tahunan untuk mengkaji semula, membincangkan dan bertukar amalan-amalan baik dan inisiatif antara kerajaan, organisasi pekerja dan majikan serta pihak berkepentingan masyarakat umum mengenai isu-isu penting yang dihadapi pekerja migran di rantau ASEAN.

Di samping itu, forum juga diadakan untuk menghasilkan cadangan-cadangan utama selaras dengan prinsip-prinsip Deklarasi ASEAN mengenai Perlindungan dan Pemajuan Hak Asasi Pekerja Migran.

Setiap tahun, AFML dihoskan oleh Jawatankuasa ASEAN mengenai Pelaksanaan Deklarasi ASEAN mengenai Perlindungan dan Pemajuan Hak Asasi Pekerja Migran (ACMW) bagi pengerusi ASEAN ketika itu dengan sokongan daripada Sekretariat ASEAN.

Ia diisikan dengan pembentangan-pembentangan pakar oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), Entiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Kesaksamaan Jantina dan Pemerkasaan Wanita (UN Women) dan Pasukan Petugas mengenai Pekerja Migran ASEAN (TFAMW).

Kenyataan menyatakan, forum dua hari pada 6 dan 8 September lalu itu telah dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Buruh, Awang Muhammad Saufi bin Haji Ibrahim dan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Buruh.

Lebih 100 orang peserta menghadiri forum maya berkenaan yang termasuk perwakilan ACMW dari 10 negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN serta perwakilan daripada persekutuan-persekutuan majikan serantau, kesatuan pekerja, pertubuhan masyarakat awam tempatan dan luar negara serta peserta pemerhati daripada kerajaan Australia, Kanada dan Switzerland.

Manakala itu, SLOM ke-17 dan SLOM+3 ke-19 masing-masing diadakan pada 9 dan 10 September. Mesyuarat dihoskan oleh Kementerian Tenaga Kerja, Orang Cacat dan Hal Ehwal Sosial Vietnam serta dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Kementerian Tenaga Manusia Indonesia, Anwar Sanusi.

Menurut Jabatan Buruh, semasa mesyuarat itu, negara-negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN berkongsi kemas kini kemajuan dan status projek-projek dan aktiviti di bawah kerja pelan tindakan dan mempertimbangkan kemungkinan kerjasama dengan rakan-rakan ASEAN mengenai projek-projek berkaitan migrasi buruh.

Kenyataan menyatakan, semasa SLOM ke-17, Brunei Darussalam selaku pengerusi ACMW 2021 melaporkan kemajuan kerja dan inisiatif ACMW mengenai pelaksanaan Konsensus ASEAN tentang Perlindungan dan Pemajuan Hak Asasi Pekerja Migran.

Terma Rujukan AFML dan cadangan-cadangan AFML ke-14 juga telah dibincangkan dan dirundingkan semasa mesyuarat itu di mana ACMW dari 10 negara anggota ASEAN mengambil maklum dan bertukar pandangan bersama pengerusi SLOM.

Mesyuarat SLOM ke-18 dan SLOM+3 ke-20 dijadualkan dihoskan oleh Filipina pada tahun hadapan.

Mesyuarat dua hari itu dihadiri oleh Awang Muhammad Saufi selaku ketua delegasi dan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Buruh.