Afrika S ‘kecewa’ dengan tindakan jiran

JOHANNESBURG, 29 NOV – Afrika Selatan hari ini berkata ia berasa ‘kecewa dan sedih’ dengan rakan negara Afrika yang turut sama menyertai negara-negara kaya melaksanakan tegahan perjalanan berhubung varian baharu COVID-19.

“Ia sedikit disesali, sangat malang, dan saya juga akan mengatakan sedih, untuk bercakap tentang sekatan perjalanan dikenakan oleh rakan negara Afrika,” kata jurucakap kementerian luar negeri, Clayson Monyela.

Angola, Mauritius, Rwanda dan Seychelles telah membatalkan penerbangan dari Afrika Selatan dalam usaha untuk melindungi negara mereka daripada Omicron.

“Apa yang saya tidak faham adalah beberapa negara Afrika ini telah melakukan perkara tersebut, mengetahui akan pergelutan yang kita hadapi sebagai satu benua, di mana negara-negara Eropah mengambil keputusan ini dan mengenakan tegahan perjalanan,” kata Monyela.

Dia berkata Afrika Selatan baru-baru ini membuat ‘sumbangan besar’ vaksin kepada beberapa negara yang kini mengenakan tegahan perjalanan.

“Apabila rakan negara Afrika melakukannya, terutamanya dalam konteks di mana kebanyakan negara mendapat faedahnya….ia bagaikan tidak masuk akal,” ujarnya semasa sidang online yang dianjurkan oleh kementerian kesihatan.

Monyela berkata kementeriannya menggesa negara-negara di benua dan sekitarnya yang tergesa-gesa mengenakan sekatan perjalanan untuk mengubahnya dengan ‘serta-merta’.

Puluhan negara-negara dari Eropah hingga Asia telah mengenakan sekatan perjalanan ke Afrika Selatan dan jiran-jirannya sejak saintis-saintis mendedahkan mengenai Omicron Khamis lepas.

Mauritius dan Rwanda antara negara Afrika terbaharu yang menangguhkan penerbangan ke sana. – AFP

Para penumpang setelah keluar dari pusat ujian COVID-19 di lapangan terbang OR Tambo Johannesburg pada 29 November. – AP