Afrika S ‘mandulkan’ wanita hamil HIV positif tanpa kebenaran

JOHANNESBURG, 24 FEB – Satu siasatan dalam pemandulan paksa ke atas puluhan wanita mengandung yang HIV positif di Afrika Selatan berkata hari ini bahawa hak mereka telah dicabul dan meminta kerajaan mengambil tindakan.

Siasatan itu telah dilancarkan pada tahun 2015, apabila dua pertubuhan hak asasi wanita bertemu dengan Suruhanjaya Kesamaan Jantina Afrika Selatan (CGE) dengan 48 kes pemandulan paksa tanpa dokumen. CGE memperoleh afidavit secara bersumpah daripada pengadu mengenai prosedur tersebut.

“Semua wanita yang mengemukakan aduan adalah wanita kulit hitam yang kebanyakannya HIV positif,” kata ketua CGE, Keketso Maema dalam laporan yang dikeluarkan hari ini.

“Sebelum melahirkan anak, mereka dipaksa untuk menandatangani borang yang kemudiannya didapati oleh mereka, menerusi pelbagai cara, merupakan borang persetujuan yang didakwa membenarkan hospital untuk memandulkan mereka.

Penyiasat mendapati kakitangan hospital mengugut tidak akan memberikan wanita berkenaan perkhidmatan perubatan jika mereka enggan menandatangani dokumen itu.

Beberapa pengadu mengatakan bahawa mereka telah diberikan borang pada saat-saat mereka dalam ‘kesakitan yang sangat’ di mana mereka tidak memahami kandungan sepenuhnya, kata laporan itu.

Suruhanjaya menyimpulkan bahawa wanita menghadapi beberapa pecabulan hak dan ‘layanan memalukan’.

Ia juga menuduh kakitangan perubatan melanggar ‘tugas penjagaan’ mereka. Laporan itu, yang telah dihantar kepada kementerian kesihatan, menasihatkan kerajaan supaya mengkaji semula kertas kerja pemandulan.

Jurucakap kementerian kesihatan enggan mengulas.- AFP