Afrika Timur berdepan serangan belalang juta

NAIROBI, 19 JUN – Afrika Timur bakal menghadapi gelombang ketiga serangan belalang juta padang pasir, dengan berbilion-bilion serangga itu bakal menetas dan mengancam bekalan makanan di rantau yang telah pun bergelut dengan hujan dan pandemik koronavirus.

Dirangsang oleh keadaan cuaca baik, haiwan perosak itu telah berhijrah ke Afrika Timur dalam jumlah besar sejak akhir 2019 dan satu lagi gelombang bakal meletus meskipun penggunaan racun perosak.

“Puluhan ribu hektar ladang tanaman dan padang ragut telah pun dimusnahkan di seluruh Afrika Timur,” kata Jawatankuasa Bantuan Antarabangsa dalam satu laporan bulan ini, mendapati kumpulan kecil serangga berkenaan mampu memakan jumlah makanan bersamaan dengan 35,000 orang dalam sehari.

Di Habsyah antara Januari dan April, belalang juta memusnahkan 1.3 juta hektar padang rumput dan hampir 200,000 hektar tanaman, mengakibatkan kehilangan 350,000 tan bijirin, kata IGAD, persatuan serantau Afrika Timur dalam laporan Jun. Somalia, seperti Kenya mengalami hujan lebat dan banjir dalam beberapa bulan ini yang membunuh puluhan orang, telah pun mengisytiharkan ‘keadaan darurat’ ke atas serangan belalang juta pada Februari.

Setakat ini, negara jiran Afrika Timur Tanzania, Rwanda dan Burundi telah terlepas daripada ancaman serangga itu, yang berhijrah dalam kumpulan berbilion sejauh 150 kilometer dalam satu hari.

Operasi menyembur racun perosak telah pun dilancarkan sejak Februari, membantu menghapus jumlah serangga yang berupaya menambah jumlah mereka kepada 20 kali ganda setiap tiga bulan.

“Kira-kira 400,000 hektar berjaya dikawal di rantau di antara Januari dan pertengahan Mei. Kami menganggarkan 400 bilion belalang juta telah dihapuskan,” kata Cyril Ferrand, pakar dengan FAO. – AFP

Gambar fail menunjukkan belalang juta mengerumuni tanaman berhampiran kampung Lerata, kawasan Archers Post di daerah Samburu, 300 kilometer dari Nairobi. – AFP