RASULULLAH SAW bersabda, “Agama adalah nasihat.” (Hadis riwayat At-Tarmidzi dan An-Nasa’i). Dapatkah anda memahami sabda Rasulullah tersebut? Menurut Amru Khalid dalam bukunya yang bertajuk ‘Gayyir Nafsaka, Ubahlah Dirimu!’ menerangkan bahawa ucapan yang dimaksudkan ini adalah agar kita memberikan nasihat kerana Allah Subhanahu Wata’ala dan memahami setiap permasalahan umat yang menghajatkannya.
Hal ini sesuai dengan prinsip, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d, ayat-11).
Permasalahan yang anda hadapi mengharuskan pembaikan atau arahan. Dalam hal ini, agama berfungsi sebagai nasihat yang mengarahkan. Sabda Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam “Agama adalah nasihat,” dikategorikan sebagai Jawami Al-Kalim (hadis singkat yang sarat dengan makna). Baginda sering mengungkapkan sesuatu dengan singkat namun sarat dengan kandungan makna.
Anda harus memberikan nasihat kerana Allah. Mungkin anda akan bertanya, “Bagaimana saya memberikan nasihat? Dan nasihat apa yang harus saya berikan kepada orang lain?”
Jawapannya adalah nasihat yang diberikan untuk usaha kearah pemba-ikan diri sendiri dan juga komuniti umat sejagat. “Saya mungkin dapat memberikan nasihat kepada seseorang, namun mungkinkah untuk menasihati sesebuah umat?” tanya anda.
Ketika anda menasihati saudara anda, saya menasihati saudara saya, lalu menasihati jiran tetangga dan teman terdekat. Percayalah dengan cara ini kelak seluruh umat akan dapat dinasihati. Kita harus kembali untuk saling menasihati antara satu dengan yang lain kerana dengan cara itu ia dapat merungkai pelbagai jenis permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat kepada yang lebih baik.
Balasan nasihat
Mungkin pernah terlintas di dalam fikiran anda, “Apakah dengan memberikan nasihat akan mendapat ganjaran?” Pernahkah Rasulullah berpesan kepada kita? Tentu, aktiviti anda dalam memberikan nasihat dan peringatan akan dibalas dengan ganjaran yang besar.
Seseorang juga mungkin berkata, “saya orang pertama yang memasuki masjid untuk melakukan solat.” Benar, namun anda bukanlah orang yang pertama yang menghuni syurga, sebab anda tidak memberikan peringatan kepada orang lain.
Bayangkanlah, orang-orang yang memberikan nasihat berada keududukan yang sama dengan mereka yang tumpas sebagai syuhada. Penyataan ini bukanlah sekadar bualan kosong. Anda harus mengingatkan orang lain. Janganlah pernah berkata, “Nasihat saya tidak akan mengubah keadaan.”
Tapi yakinlah bahawa nasihat anda akan mampu mengubah setelah empat atau lima tahun ke hadapan. Percayalah, masyarakat akan mengalami perubahan bila kita telah terbiasa menerima nasihat.
Anda dapat merenungi riwayat ini, “Seorang sahabat nampak datang, ke-mudian berujar, Rasulullah membaiatku dengan tiga perkara, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mengingatkan setiap Muslim.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Sahabat lain berkata, “Aku mendatangi Rasulullah untuk berbaiat dengannya. Rasulullah, aku hendak mengikrarkan janji setia dengan Islam. Syarat apa yang harus ku penuhi?” ujarku.
Lalu Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam menjawab, “Hendaklah memberikan nasihat kepada setiap Muslim.” (Hadis riwayat Al-Bukhari).
Syarat-syarat nasihat
1-Keyakinan akan kebenaran nasihat yang hendak diberikan kepada orang yang anda nasihati. Apa yang anda nasihati dipertanggungjawabkan. Sebab se-seorang yang tidak memiliki kriteria itu, tidak dituntut untuk memberi nasihat.
2-Niat yang tulus dalam mamberikan nasihat. Bukan dengan tujuan sombong diri agar anda nampak mulia dan terhormat di mata mereka.
3-Menyembunyikan nasihat dan tidak memberitahu aib seseorang kepada orang lain. Seorang mukmin memberikan nasihat dan menutupi aib yang lain. Berbeza dengan munafik yang hanya mempermalukan dan menelanjanginya.
4-Mengingatkan dengan ramah.